PUTRAJAYA, 18 Disember - Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan kejam tentera peneceroboh lsrael ke atas Hospital Kamal Adwan di Gaza yang menjadi tempat perlindungan dan rawatan bagi rakyat Palestin.
Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam kenyataannya berkata serangan terhadap kemudahan kesihatan merupakan satu ciri pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin.
“Kepungan ke atas Gaza jelas merupakan jenayah perang di bawah undang-undang antarabangsa. Ia melanggar hak asasi manusia iaitu hak untuk hidup dan hak untuk menentukan nasib sendiri.
“Tindakan memaksa orang awam berpindah serta cubaan menjadikan Gaza sebagai tempat yang tidak dapat didiami mesti ditamatkan,” menurut kementerian itu.
Konvensyen Geneva 1949 dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa menuntut perlindungan dan menghormati maruah semua mangsa konflik, termasuk mengurus jenazah mangsa yang telah terkorban dengan penuh hormat.
Selain itu, orang awam di Gaza mesti dilayan dengan perikemanusiaan dan hak mereka untuk pulang wajib dihormati.
Malaysia menggesa masyarakat antarabangsa untuk menggunakan semua cara yang ada untuk mengelakkan kehilangan nyawa dan menamatkan penderitaan rakyat Palestin dengan segera, menurut kenyataan itu.
“Rejim Israel tidak boleh terlepas daripada tanggungjawab di bawah undang-undang antarabangsa. Israel mesti dipertanggungjawabkan atas jenayah yang telah dilakukannya terhadap rakyat Palestin. Adalah penting bagi masyarakat antarabangsa secara kolektif menangani krisis kemanusiaan yang semakin mendesak dengan menamatkan serangan Israel ke atas orang awam di Gaza.
“Malaysia tetap dengan pendirian bahawa serangan berterusan ke atas orang awam merupakan jenayah perang dan Israel mesti dipertanggungjawabkan atas perbuatan itu dan tindakannya menduduki wilayah Palestin,” menurut kenyataan itu.