PUTRAJAYA, 22 Mac – Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya pencerobohan dan serangan terbaharu rejim Zionis Israel ke atas Gaza, khususnya di Rafah, yang telah meragut lebih 600 nyawa rakyat Palestin dalam tempoh tiga hari.
Kerajaan menyifatkan tindakan tidak berperikemanusiaan itu sebagai pembunuhan beramai-ramai dan jenayah genosid yang mencabuli undang-undang antarabangsa serta prinsip kemanusiaan sejagat.
“Serangan kejam ini bukan sahaja memburukkan krisis kemanusiaan di Gaza, malah menghancurkan segala usaha diplomatik ke arah perdamaian. Ia sekali lagi menunjukkan niat jahat Israel untuk menghapuskan rakyat Palestin tanpa belas kasihan,” menurut kenyataan Wisma Putra pada Sabtu.
Malaysia turut menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan masyarakat antarabangsa untuk bertindak tegas menghentikan pertumpahan darah serta menamatkan jenayah genosid yang sedang berlaku.
“Israel mesti dipaksa mematuhi undang-undang antarabangsa, menghormati resolusi PBB dan kembali ke meja rundingan demi keamanan dan keadilan," katanya.
Sehubungan itu, Malaysia akan terus memperhebat usaha diplomatik melalui kerjasama dengan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Liga Arab dan rakan antarabangsa lain bagi menamatkan konflik berpanjangan ini.
Kerajaan turut menegaskan komitmennya dalam memperjuangkan penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.