Malaysia kecam pencerobohan Israel ke atas ibu pejabat UNRWA

FOTO AFP

KUALA LUMPUR, 21 JANUARI Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan pencerobohan Israel ke atas ibu pejabat Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA), serta perobohan premis agensi itu di Sheikh Jarrah, Baitulmaqdis Timur, pada 20 Januari lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Malaysia mengutuk pencabulan undang-undang antarabangsa dan prinsip kemanusiaan berhubung serangan terhadap premis UNRWA.
  • Mendesak Israel melindungi petugas kemanusiaan, kekal hormati keistimewaan dan kekebalan PBB serta harta pegawai.
  • Seru tindakan antarabangsa untuk menuntut akauntabiliti Israel dan menghentikan budaya impuniti demi keadilan Palestin.

Menurut Kementerian Luar, tindakan tersebut merupakan pencabulan serius terhadap undang-undang antarabangsa dan prinsip kemanusiaan sejagat, khususnya ketika rakyat Palestin terus berdepan krisis kemanusiaan yang berpanjangan.

“Israel mempunyai obligasi di bawah undang-undang antarabangsa untuk memastikan saluran bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin tanpa sekatan oleh Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) terutamanya UNRWA, organisasi antarabangsa dan Negara Anggota PBB; melindungi semua petugas kemanusiaan dan perubatan; memastikan hak keistimewaan dan kekebalan PBB, termasuk premis, harta benda dan kakitangan PBB dipertahankan.

“Ini adalah selaras dengan Pendapat Nasihat Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) bertarikh 22 Oktober 2025,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, Malaysia menyeru masyarakat antarabangsa untuk mengambil tindakan tegas dengan mengenakan akauntabiliti terhadap Israel atas pencabulan undang-undang antarabangsa yang berterusan, termasuk Piagam PBB, Konvensyen PBB Mengenai Keistimewaan dan Kekebalan 1946, serta resolusi-resolusi PBB yang berkaitan.

Malaysia menegaskan bahawa budaya tidak dikenakan hukuman terhadap Israel mesti dihentikan, demi menjamin perlindungan terhadap rakyat Palestin serta menegakkan keadilan dan kedaulatan undang-undang antarabangsa.