Malaysia kecam pembunuhan Ali Khamenei, gesa gencatan senjata dengan segera

Facebook Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 2 MAC – Malaysia mengecam sekeras-kerasnya pembunuhan Pemimpin Tertinggi Iran, Ali Khamenei, yang disifatkan berpotensi mencetuskan ketidakstabilan berpanjangan di Asia Barat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Malaysia mengecam pembunuhan Ali Khamenei sebagai tindakan yang boleh mencetuskan ketidakstabilan di Asia Barat.
  • Perdana Menteri menggesa pihak berkuasa Iran berbuat bijak dan menahan diri bagi mengelakkan peningkatan konflik.
  • Keutamaan kerajaan adalah keselamatan serta kebajikan rakyat Malaysia di Iran, Teluk dan Asia Barat.
  • Malaysia mendesak gencatan senjata segera, perlindungan orang awam dan kembali ke meja rundingan melalui diplomasi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi kenyataan di Facebook menegaskan, tindakan tersebut meletakkan rantau itu di ambang krisis serius dan berisiko mencabar kestabilan antarabangsa.

Beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada Republik Islam Iran serta rakyat negara itu.

Datuk Seri Anwar menggesa pihak berkuasa Iran bertindak dengan penuh kebijaksanaan dan menahan diri, sejajar dengan seruan negara-negara lain agar semua pihak mengelakkan sebarang peningkatan konflik.

Menurut beliau, keutamaan kerajaan ketika ini adalah keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia di Iran, negara-negara Teluk serta Asia Barat, dengan semua perwakilan Malaysia diberi mandat dan sumber mencukupi untuk membantu.

Kerajaan juga akan menilai segera kesan ekonomi susulan konflik berkenaan, termasuk risiko terhadap ruang udara serantau serta kebebasan pelayaran di Selat Hormuz yang memberi implikasi langsung kepada perdagangan dan keselamatan tenaga negara.

Malaysia turut menggesa gencatan senjata segera, perlindungan orang awam serta kembalinya semua pihak ke meja rundingan, sambil menegaskan krisis berkenaan hanya boleh diselesaikan melalui diplomasi, kesederhanaan dan keazaman politik.