
PUTRAJAYA, 11 April – Malaysia mengecam sekerasnya keputusan Israel meluluskan pembinaan 34 penempatan haram baharu di Wilayah Palestin yang Diduduki (OPT).
- Peluasan penempatan haram melanggar undang-undang antarabangsa, Konvensyen Geneva Keempat dan Resolusi Majlis Keselamatan PBB 2334.
- Tindakan tersebut merupakan rampasan tanah Palestin dan usaha mengubah komposisi demografi wilayah secara tidak sah.
- Malaysia menggesa tindakan tegas PBB dan komuniti antarabangsa serta menegaskan sokongan kepada negara Palestin merdeka pra-1967.
Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar menegaskan tindakan rejim Zionis itu terang-terangan mencabuli undang-undang antarabangsa dan hak rakyat Palestin.
“Peluasan penempatan haram tersebut bertentangan dengan Konvensyen Geneva Keempat dan Resolusi Majlis Keselamatan PBB 2334 yang melarang aktiviti penempatan di wilayah yang diduduki,” menurut kenyataan tersebut.
Kementerian itu menegaskan, tindakan Israel itu merupakan sebahagian langkah merampas tanah Palestin serta mengubah komposisi demografi wilayah tersebut secara tidak sah.
Majlis Keselamatan PBB (UNSC) dan masyarakat antarabangsa digesa mengambil tindakan tegas bagi memastikan Israel dipertanggungjawabkan sepenuhnya terhadap pelanggaran berkenaan.
“Malaysia mengulangi pendirian konsisten untuk melihat penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara,” kata kementerian tersebut.
Malaysia juga menegaskan komitmen tinggi dan berterusan dalam menyokong perjuangan rakyat Palestin di peringkat antarabangsa.