BANGI, 16 Jun - Kerajaan sedang mengkaji keperluan menggubal undang-undang khusus berkaitan kecerdasan buatan (AI) bagi menangani cabaran dan ancaman teknologi itu yang semakin berkembang pesat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pihaknya telah menyatakan hasrat kepada Kementerian Digital bagi membincangkan usaha berkenaan.
“Cabaran terbesar sekarang adalah isu berkaitan AI apabila ia digunakan dalam format tertentu.
"Saya telah menulis surat kepada Menteri Digital, Gobind Singh Deo supaya kita tubuhkan satu jawatankuasa bersama antara Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang dan Kementerian Digital bagi menyelaraskan undang-undang berkaitan AI," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Perhimpunan Bulanan Bersama Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi dan Majlis Peluncuran Akademi Perundangan Negara di sini, hari ini.
Menurut Azalina, satu-satunya rujukan undang-undang berkaitan AI di peringkat global setakat ini dilaksanakan di Kesatuan Eropah (EU).
Katanya, undang-undang berkenaan perlu dikaji dan dinilai supaya boleh disesuaikan dalam konteks perundangan negara.
Tambah beliau, usaha pendigitalan mahkamah termasuk penggunaan sistem suara ke teks dan penghantaran dokumen secara digital telah dimulakan di Putrajaya dan akan diperluas ke mahkamah luar bandar.