fb fb fb fb fb

Penggunaan spektrum dan frekuensi berbeza dikaji, atasi masalah liputan dalam bangunan

FOTO BERNAMA

SEOUL, 30 September- Malaysia akan mengkaji penggunaan spektrum dan frekuensi yang berbeza seperti digunakan di Korea Selatan bagi mengatasi masalah liputan internet dalam bangunan (In-Building-Coverage), kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Beliau berkata, keberkesanan kaedah itu telah dibuktikan di Korea Selatan yang turut menghadapi masalah sama sebelum ini.

“Mereka (LG U+) memaklumkan satu penyelesaian yang melibatkan satu frekuensi, satu spektrum, jadi saya minta MCMC teliti dapatan dan pandangan daripada pihak LG U+ sekiranya ia sesuai dan boleh dimanfaatkan di Malaysia kita akan usahakan proof-of-concept,” katanya kepada Bernama.

Terdahulu Fahmi mengadakan pertemuan dengan Naib Presiden Eksekutif LG U+ Johan Suehyun Chung dan pegawai-pegawai kanan syarikat telekomunikasi itu serta mendengar taklimat berhubung status liputan rangkaian 5G di Korea Selatan.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Maxis Goh Seow Eng.

Beliau turut diberi taklimat mengenai aplikasi kecerdasaan buatan (AI) yang dibangunkan LG U+ untuk membantu pengguna menjawab panggilan telefon selain mengesan sekiranya panggilan tersebut mempunyai unsur-unsur penipuan (scammer).

Dalam pada itu, Fahmi meminta pihak Telekom Malaysia (TM) dan LG U+ melihat potensi kerjasama bagi pelaksanaan 5G khususnya untuk syarikat tempatan dalam sektor perindustrian dan perusahaan.

Fahmi turut dibawa melawat LG Sciencepark bagi melihat sendiri kompleks pusat penyelidikan serta kajian terbesar di Korea Selatan yang mempamerkan produk syarikat itu dalam bidang automotif dan logistik menggunakan teknologi AI.

Ditubuhkan pada tahun 1996, LG U+ ialah syarikat telekomunikasi terkemuka Korea Selatan yang diiktiraf untuk 5G, jalur lebar dan IoT yang canggih.

Fahmi kini dalam lawatan kerja tiga hari ke Korea Selatan.

Beliau antara lain akan menyampaikan ucap tama persidangan GSMA Mobile 360 APAC dan meneroka peluang kerjasama baharu dalam industri perfileman, serta bertemu wakil pengurusan syarikat telekomunikasi bagi mendapatkan input berkait kesalinghubungan.- BERNAMA

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE