KUALA LUMPUR, 12 Mac- Malaysia dan Jerman senada dalam mengesa gencatan senjata kekal dilaksanakan di Gaza yang terus-menerus menjadi sasaran kekejaman Israel, sejak sekian lama.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawat, Canselor Olaf Scholz pada sidang media bersama turut menggesa pembebasan tawanan serta bantuan kemanusian kepada rakyat Palestin agar disegerakan.
"Kedua-dua pihak (Malaysia dan Jerman) juga bersetuju bahawa perlu ada titik noktah terhadap konflik yang sudah berlanjutan selama beberapa dekad," katanya menerusi Facebooknya hari ini.
Dalam perkembangan lain, Anwar berkata, pertemuannya dengan Scholz di Canselori Persekutuan, lewat petang waktu tempatan itu turut membincangkan kemajuan hubungan Malaysia-Jerman terutama kerjasama ekonomi, pendidikan, alam sekitar, eksport minyak sawit dan kelestarian.
"Menerusi pertemuan ini Malaysia berharap dapat menjalinkan kerjasama yang lebih luas, bukan sahaja dalam meningkatkan perdagangan dan pelaburan, malah untuk memperkukuh hubungan dua hala dalam semua bidang.
"Dalam sidang media bersama, saya mengalu-alukan lebih banyak pelabur Jerman untuk memanfaatkan lokasi Malaysia yang strategik di Asia Tenggara sebagai destinasi pelaburan pilihan," katanya lagi.
Anwar turut mengucapkan penghargaan kepada Scholz atas layanan baik terhadap beliau dan delegasi Malaysia pada hari pertama Ramadan.
"Terima kasih Canselor Scholz atas layanan yang baik kepada saya serta delegasi Malaysia di hari pertama Ramadan ini. Semoga hubungan kedua-dua negara dapat terus diperkukuh demi manfaat bersama," tambahnya.
ARTIKEL BERKAITAN
Anwar alu-alukan lebih banyak perniagaan Jerman melabur di Malaysia
PM Anwar tiba di Berlin untuk lawatan rasmi lima hari
PM seru bermunajat, tingkat amal pada awal Ramadan
Anwar lawat Siemens Energy di Berlin
PM adakan kunjungan hormat ke atas Presiden Jerman