fb fb fb fb fb

Malaysia, Jepun galak kerjasama dalam penyiaran, ICT

Anwar Ibrahim dan Fumio Kishida/PMO

PUTRAJAYA, 17 Disember- Malaysia dan Jepun sepakat akan menggalakkan kerjasama dalam sektor penyiaran dan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatnya dari Jepun, Fumio Kishida dalam satu kenyataan bersama semalam.

Ini termasuk ICT untuk pengurusan bencana; pembangunan dan penggunaan rangkaian 5G yang terbuka, selamat dan berdaya tahan.

Anwar dan Kishida turut berkongsi hasrat untuk bekerjasama dalam keselamatan ekonomi.

"Kedua-dua pemimpin berkongsi hasrat mereka untuk bekerjasama dalam keselamatan ekonomi termasuk mengukuhkan ketahanan rantaian bekalan, sambil mengiktiraf kepentingan rantaian bekalan yang telus, pelbagai, selamat, mampan dan boleh dipercayai di rantau ini dan seterusnya dengan memastikan produktiviti dan kesalinghubungan serta meminimumkan risiko kepada gangguan rantaian bekalan masa depan," menurut kenyataan itu yang dikeluarkan selepas pertemuan dua hala mereka di Tokyo.

Dalam masa sama, kedua-dua negara menyambut baik kemajuan luar biasa yang dicapai di bawah Dasar Pandang Ke Timur terutama dalam memupuk hubungan dua hala yang lebih kukuh melangkaui perdagangan, pelaburan dan pembangunan sosioekonomi.

Kishida turut mengalu-alukan sumbangan syarikat-syarikat Malaysia dalam meningkatkan pertukaran pelancongan antara kedua-dua negara yang mempercepat pemulihan industri pelancongan.

Kedua-dua Perdana Menteri juga bersetuju menghidupkan semula perundingan dua hala di peringkat wakil menteri luar untuk membincangkan pelbagai isu secara menyeluruh.

SITI AISHAH BINTI MD ISA