fb fb fb fb fb

Malaysia jadi destinasi pelaburan dunia kerana kestabilan politik

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim

AYER KEROH, 22 April - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia kini menjadi perhatian dunia sebagai destinasi pelaburan unggul berikutan kestabilan politik dan dasar ekonomi yang jelas.

Anwar berkata dasar-dasar seperti Transformasi Digital, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NTER) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 membantu pelabur melihat kekuatan yang ada pada negara.

"Malaysia sekarang dengan pelaburan (seperti) Infineon, Nvidia dan puluhan lagi, memerlukan 30,000 jurutera yang tak dapat kita isi sepenuhnya.

"Maka, tumpuan ibu bapa dan anak-anak Melayu mestilah di lapangan sains dan matematik dan TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) yang diusahakan secara gigih oleh (Timbalan Perdana Menteri) Datuk Seri (Dr Ahmad) Zahid (Hamidi) untuk meningkatkan keupayaan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2024 peringkat negeri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh, di sini.

Jelas beliau Aidilfitri yang disifatkan sebagai kembali kepada fitrah yang membawa maksud suci , hasil tarbiah atau amalan di bulan ramadan seharusnya meningkatkan iman dan amalan dan ihsan sesama masyarakat.

"Aidilfitri itu kembali kepada fitrah insaniah kerana tarbiah bulan Ramadan yang disebut sekolah Ramadan atau madrasah Ramadan harus meningkatkan iman. Kita amal kita nilai kita ehsan kita kepada masyarakat terutama yang kurang bernasib baik.

"Jadi fitrah ini kembali kepada status semula jadi yang bersih, yang indah yang mudah-mudahan kita jangan lupa kerana ujian Ramadan itu harus mengingatkan kita tentang tanggungjawab kita," kata Anwar.

TETITIA YUSOFF