fb fb fb fb fb

Malaysia-Indonesia setuju teraju Majlis Halal ASEAN

Foto Facebook Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR, 26 Mei- Malaysia dan Indonesia bersetuju untuk menerajui penubuhan Majlis Halal ASEAN sebagai langkah strategik memperkukuh ekosistem halal serantau yang kini semakin mendapat perhatian dunia.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam satu kenyataan memaklumkan perkara itu dicapai selepas pertemuan bersama Ketua Badan Penyelenggara Jaminan Produk Halal (BPJPH) Indonesia, Haikal Hassan Baras, sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 yang berlangsung di ibu negara hari ini.

"Inisiatif ini akan memastikan ASEAN menjadi peneraju dalam ekosistem halal global dengan piawaian yang diiktiraf dunia. "Peluasan Perdagangan Halal kedua-dua negara juga bersetuju untuk membuka laluan kemasukan produk halal dan memperluas pengiktirafan bersama sijil halal.

"Langkah ini akan mewujudkan aliran perdagangan halal yang lebih lancar dan mesra industri, serta menyokong peningkatan perdagangan intra-ASEAN. Ini dijangka memberi impak positif terhadap permintaan pasaran halal di ASEAN, yang mewakili lebih 700 juta penduduk," menurut kenyataan itu.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Industri Halal (MPIH) berkata, kedua-dua negara turut bersetuju membuka laluan lebih luas bagi kemasukan produk halal serta memperluas pengiktirafan bersama sijil halal.

Penubuhan majlis itu bakal menjadi platform penting dalam menyelaras dasar, piawaian dan standard halal negara-negara ASEAN secara sistematik dan inklusif.

Pertemuan bersama Haikal Hassan Baras merupakan kesinambungan daripada lawatan rasmi Datuk Seri Dr Ahmad Zahid ke Indonesia baru-baru ini selain menerajui pembangunan industri halal serantau.

"Malaysia turut menyokong penuh program pertukaran kepakaran, latihan bersama, dan penyelidikan kolaboratif dalam memperkukuh rantaian nilai halal ASEAN.

"Dengan nilai pasaran halal global yang dijangka mencecah USD5 trilion menjelang 2030, ASEAN mesti tampil sebagai peneraju ekosistem halal serantau yang saling melengkapi dan berdaya saing," tambah kenyataan itu.

Penubuhan Majlis Halal ASEAN akan memastikan negara anggota sebagai hab halal global malah menjadi model dalam memimpin industri halal dunia dengan integriti dan piawaian tinggi.

Kerjasama itu juga akan menjadi testimoni kejayaan "Halal Diplomacy" yang diperkenalkan Malaysia untuk memperkukuh jenama halal negara di peringkat global.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI