PUTRAJAYA, 16 April- Malaysia merakamkan penghargaan terhadap kesediaan Jepun untuk bekerjasama dalam pembangunan ASEAN Power Grid, selain memperkukuh kerjasama dua hala dalam sektor tenaga baharu dan hidrogen.
Perkara itu dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi panggilan telefon bersama rakan sejawat dari Jepun, Shigeru Ishiba.
Dalam perbualan tersebut, kedua-dua pemimpin turut membincangkan pelbagai isu serantau termasuk perkembangan hubungan antara ASEAN dan Amerika Syarikat serta kesannya terhadap ekonomi global.
Datuk Seri Anwar turut menegaskan bahawa negara bersama pimpinan ASEAN lain telah mencapai kesepakatan untuk meneruskan rundingan bersama AS berkaitan isu tersebut demi kepentingan rantau ini.
Hubungan dua hala Malaysia-Jepun, menurut Perdana Menteri, akan terus diperkukuh berasaskan prinsip saling menghormati, kepercayaan dan komitmen jangka panjang dalam pelbagai bidang strategik.
Dalam perkembangan lain, Datuk Seri Anwar turut menyampaikan ucapan takziah kepada Ishiba atas kehilangan nyawa rakyat Jepun susulan kejadian gempa bumi di Myanmar, serta menghargai usaha Jepun dalam menyalurkan bantuan bagi pembangunan semula negara berkenaan.