fb fb fb fb fb

Malaysia hantar bantuan kemanusiaan ke Filipina

Helikopter EC725 bersama-sama 16 anak kapal tiba Pangkalan Udara Villamor di Manila

KUALA LUMPUR, 26 Oktober- Malaysia menghantar satu aset udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) iaitu Helikopter EC725 bersama-sama 16 anak kapal untuk misi bantuan kemanusiaan dan bencana ke Filipina hari ini.

Pasukan itu berlepas dari Pangkalan Udara Labuan dan telah tiba Pangkalan Udara Villamor di Manila pada pukul 2.48 petang tadi.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negara Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, puluhan ribu penduduk di negara itu terjejas akibat banjir besar berpunca daripada hujan lebat bersamaan jumlah hujan dua bulan dalam tempoh hanya dua hari di beberapa kawasan.

"Siklon Tropika Trami mengakibatkan sekurang-kurangnya 40 kematian, dan ribuan mangsa masih terperangkap di atas bumbung rumah mereka.

"Sebagai tindakan segera, Malaysia menawarkan kepada Filipina satu pesawat C-130 Hercules bagi tujuan mobilisasi udara barangan bantuan ke kawasan-kawasan yang terjejas serta pasukan SMART yang bersedia membantu dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR)," katanya menerusi kenyataan itu.

Pada 24 Oktober lalu kerajaan Filipina telah mengemukakan Nota Diplomatik kepada Kedutaan Malaysia di Manila untuk bantuan kemanusiaan dan bencana dalam bentuk aset udara dan logistik untuk penghantaran barangan bantuan ke kawasan terjejas bencana.

Susulan itu, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bersama-sama Kementerian Pertahanan, Kementerian Luar Negeri, Angkatan Tentera Malaysia, dan Malawakil Malaysia di Filipina telah melaksanakan koordinasi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR).

Menerusi laporan ASEAN Coordinating Centre for Humanitarian Assistance on disaster management (AHA Centre) merekodka tujuh kematian, 197,000 mangsa dipindahkan dan kira-kira 2.8 juta penduduk terjejas akibat bencana ini.

Malaysia komited bekerjasama dengan Kerajaan Filipina dalam misi bantuan kemanusiaan selain turut mendoakan keadaan di Filipina segera pulih.

"Seluruh rakyat Malaysia mendoakan agar keadaan di Filipina segera pulih dan segala usaha bantuan yang diberikan dapat membantu meringankan beban penduduk terjejas," tambah kenyataan itu.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI