KUALA LUMPUR, 18 November - Malaysia menyifatkan kelulusan Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) pada 17 November sebagai satu perkembangan positif dalam usaha menamatkan konflik berpanjangan di Gaza.
Wisma Putra dalam satu kenyataan memaklumkan, resolusi itu mengiktiraf Pelan Komprehensif Menamatkan Konflik Gaza yang diumumkan pada 8 Oktober di Sharm El Sheikh, Mesir sekali gus membuka laluan kepada pembentukan Lembaga Keamanan dan Pasukan Penstabilan Antarabangsa.
"Keputusan Majlis Keselamatan PBB ini akan membuka jalan bagi penubuhan Lembaga Keamanan dan Pasukan Penstabilan Antarabangsa yang berperanan untuk memudah cara pembinaan semula, pemulihan ekonomi, dan penyahtenteraan di Gaza.
"Keamanan yang berkekalan di Palestin dan serantau hanya dapat dicapai melalui satu penyelesaian yang inklusif dan komprehensif," menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu Malaysia turut menggesa Majlis Keselamatan PBB untuk memastikan pelaksanaan segera dan menyeluruh resolusi tersebut, bagi merealisasikan hak asasi mutlak rakyat Palestin termasuk hak kenegaraan, kedaulatan dan keutuhan wilayah Palestin, dan menjamin hak untuk pulang ke tanahair pelarian Palestin.
Malaysia akan terus menyokong semua usaha berteraskan undang-undang antarabangsa dan prinsip-prinsip yang termaktub dalam Piagam PBB, ke arah merealisasikan sebuah Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai Ibu Negara.
