Malaysia gesa henti sekatan Al-Aqsa

Foto AFP

KUALA LUMPUR, 12 Mac – Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan berterusan rejim Israel yang menutup pintu Masjid Al‑Aqsa kepada umat Islam, khususnya ketika bulan suci Ramadan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sekatan diskriminasi terhadap akses ke Kota Lama Baitulmaqdis Timur dan tempat ibadat dianggap pelanggaran undang-undang antarabangsa.
  • Langkah itu satu provokasi terhadap umat Islam dan berpotensi meningkatkan ketegangan di wilayah Palestin yang diduduki.
  • Malaysia menolak tindakan yang menjejaskan kesucian dan status Masjid Al-Aqsa serta menegaskan Israel tidak berdaulat ke atas Baitulmaqdis Timur.
  • Malaysia menggesa masyarakat antarabangsa mendesak Israel hentikan pelanggaran tapak suci dan hormati kesucian, sejarah serta perundangan berkaitan.

Tindakan sekatan yang bersifat diskriminasi terhadap akses ke Kota Lama Baitulmaqdis Timur serta tempat ibadat di kawasan berkenaan disifatkan sebagai pelanggaran nyata terhadap undang-undang antarabangsa dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa, tegas Wisma Putra dalam satu kenyataan.

Langkah itu juga merupakan satu lagi provokasi terhadap umat Islam selain berpotensi meningkatkan ketegangan di Wilayah Palestin yang diduduki.

“Malaysia turut menolak sebarang langkah yang menjejaskan kesucian dan status Masjid Al-Aqsa, sambil menegaskan Israel tidak mempunyai kedaulatan ke atas Baitulmaqdis Timur mahupun tapak-tapak suci Islam dan Kristian di kawasan tersebut,” menurut kenyataan itu lagi.

Malaysia turut menggesa masyarakat antarabangsa supaya mendesak Israel menghentikan pelanggaran berterusan terhadap tapak-tapak suci di Baitulmaqdis serta menghormati kesucian, sejarah dan perundangan sedia ada berkaitan kawasan tersebut.