KUALA LUMPUR, 19 Julai- Malaysia dan Filipina akan meningkatkan lagi hubungan dua hala dalam bidang pertanian khususnya aspek perdagangan pertanian serta kerjasama teknikal dalam subsektor tanaman, ternakan dan perikanan.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam satu kenyataan berkata, perkara itu dibincangkan semasa Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu menerima kunjungan hormat Duta Besar Filipina ke Malaysia Maria Angela Abrera Poncea di Menara Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) di ibu negara pada Rabu.
Pertemuan itu merupakan kali pertama diadakan sejak Angela mula berkhidmat di Malaysia pada hujung November tahun lepas.
"Menerusi kunjungan hormat tersebut, PYT Angela memaklumkan bahawa Malaysia merupakan rakan dagang terbesar bagi sektor pertanian Filipina di rantau ASEAN dan beliau telah diberi tanggungjawab oleh Kerajaan Filipina untuk mengukuhkan kerjasama pertanian terutamanya dalam aspek keterjaminan makanan dengan Malaysia," katanya.
Menurut data perdagangan bagi 2023, nilai eksport Malaysia ke Filipina adalah sebanyak RM5.41 bilion berbanding nilai import Filipina dari Malaysia iaitu RM1.28 bilion yang menyumbang kepada imbangan perdagangan positif kepada negara.
Mohamad turut menjemput Angela ke Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan (MAHA) 2024 yang dijadualkan pada 11 hingga 22 September depan selain mempelawa negara itu untuk menyertai acara dwitahunan tersebut.
Majlis itu turut dihadiri Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Datuk Azah Hanim Ahmad; Ketua Pengarah Jabatan Pertanian Malaysia Datuk Nor Sam Alwi; pegawai dan jabatan serta agensi bawah KPKM.