fb fb fb fb fb

Malaysia dipilih Ahli IPHRC OIC 2025-2028

Prof. Emeritus Datuk Dr. Aishah Bidin

PUTRAJAYA, 22 Jun- Malaysia berjaya dipilih sebagai Ahli Suruhanjaya Bebas Tetap Hak Asasi Manusia (IPHRC), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bagi tempoh 2025-2028.

Wisma Putra menerusi kenyataan memaklumkan, Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan, mengetuai usaha Malaysia melobi sokongan pada sesi pemilihan yang diadakan pada 21 Jun 2025 di sela-sela Mesyuarat Majlis Menteri-Menteri Luar Negeri (CFM) ke-51 di Istanbul, Republik Turkiye.

Menurut kenyataan itu, calon Malaysia, Profesor Emeritus Dato’ Dr. Aishah Bidin, akan berkhidmat dalam Suruhanjaya tersebut bagi penggal 2025-2028 bermula Ogos 2025.

"Profesor Emeritus Dato’ Dr. Aishah Bidin mempunyai pengalaman dan pendedahan yang meluas dalam bidang hak asasi manusia dan kemanusiaan, terutama sekali semasa berkhidmat sebagai Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM).

"Beliau juga pernah pernah menjadi wakil Malaysia ke Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR) dan sering diundang sebagai pakar rujuk di forum-forum anjuran Pertubuhan Bangsa Bersatu dan Pertubuhan Antarabangsa yang lain.

Keahlian Malaysia dalam IPHRC akan menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi Negara-negara Anggota untuk kesejahteraan Ummah.

IPHRC yang ditubuhkan pada 30 Jun 2011 dan terdiri daripada 18 Ahli Suruhanjaya berperanan sebagai badan pakar bebas yang memberi khidmat nasihat kepada OIC dalam bidang hak asasi manusia.

ROSLINA BINTI DIN