fb fb fb fb fb

Malaysia dilantik Pengerusi AWGCC 2022-2025

(Delegasi Malaysia yang diketuai oleh Noor Afifah binti Abdul Razak ke Mesyuarat Ke-33 ASEAN Senior Officials on Environment
(ASOEN) di Siem Reap, Cambodia / Facebook Dato' Sri Tuan Ibrahim bin Tuan Man)

PUTRAJAYA, 8 Oktober- Malaysia dilantik sebagai Pengerusi Bagi Kumpulan Kerja ASEAN Mengenai Perubahan Iklim (2022-2025) (AWGCC).

Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menerusi satu hantaran di Facebook beliau berkata Pelantikan tersebut dibuat dalam Mesyuarat Ke-33 ASEAN Senior Officials on Environment (ASOEN) dan Mesyuarat-Mesyuarat Berkaitan di Siem Reap, Cambodia pada pada 3-7 Oktober 2022.

Delegasi Malaysia yang diketuai oleh Noor Afifah binti Abdul Razak, Timbalan Ketua Setiausaha (Alam Sekitar) telah menyertai mesyuarat tersebut bagi membincangkan kerjasama mengenai pemuliharaan alam sekitar dan perubahan iklim dalam kalangan negara ASEAN dan rakan dialog lain seperti Jepun, EU dan Korea.

“Saya bersyukur dan menghargai pengiktirafan yang diberikan kepada Malaysia sebagai salah sebuah negara peneraju bagi agenda perubahan iklim di rantau ASEAN.

“Tanggungjawab yang lebih besar bagi Malaysia untuk terus memacu peranan agenda kelestarian bukan hanya di Malaysia tetapi juga di rantau ASEAN. Tahniah dan syabas!” katanya.

Sebelum ini, AWGCC dipengerusikan oleh Kemboja.

AWGCC ditubuhkan pada 2009 bagi meningkatkan kerjasama dan tindakan serantau untuk menangani kesan buruk perubahan iklim terhadap pembangunan sosioekonomi negara anggota ASEAN.


(Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man)

Media Baharu