SHENZHEN, 24 Mei- Malaysia dijangka menerima sistem pengurusan bencana lebih sistematik yang menggunakan teknologi baharu.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pemindahan teknologi itu direalisasikan menerusi pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan syarikat telekomunikasi China, Huawei dalam satu majlis di Shenzhen.
"Mereka memiliki sistem yang boleh memberikan keberhasilan dalam tempoh kira-kira 30 saat untuk dianalisa dan sebagai tanda amaran awal mengenai keadaan banjir, ribut atau lain-lain."
"Oleh kerana kita menghadapi Monsun Timur Laut dan kini Monsun Barat Daya, Malaysia sangat mendambakan sistem seperti ini," kata Zahid kepada pemberita selepas menyaksikan majlis tandatangan MoU berkenaan.
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid kini dalam lawatan rasmi pertamanya ke China sejak memegang jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri pada Disember 2022.
Lawatan selama 11 hari bermula 22 Mei lepas itu adalah atas jemputan Naib Perdana Menteri China, Ding Xuexiang.
Sementara itu, menurut beliau, perbincangan bersama Huawei turut memfokuskan usaha memperkasa bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) berpandukan teknologi terkini.
Antaranya meliputi teknologi AI, Internet Pelbagai Benda (IoT) dan sistem robotik.
"Huawei sudah berada di Malaysia selama 23 tahun dan mereka sudah memperkenalkan beberapa teknologi baharu seperti AI iaitu agak baharu di Malaysia."
"Namun, kita yakin usaha dilakukan Huawei ini akan dapat memindahkan, bukan sahaja teknologi tetapi ilmu ke negara kita," tambah Zahid.
Beliau berkata selain itu, Huawei akan membuka pusat pentadbiran baharu di Malaysia sekali gus membuktikan komitmen syarikat telekomunikasi itu untuk mewujudkan kira-kira 6,000 peluang pekerjaan baharu dalam sistem 5G mahupun 5GA yang sedang dibawa ke negara ini.