
KUALA LUMPUR, 17 Mac — Malaysia mengambil pendirian jelas dan berprinsip dengan mendesak keganasan di Asia Barat dihentikan segera, selain menggesa ketegangan diredakan melalui saluran diplomasi berlandaskan undang-undang antarabangsa serta penghormatan terhadap maruah manusia.
- Konflik mencerminkan kecenderungan berbahaya mendominasi wilayah tanpa menghiraukan nilai kemanusiaan, kata Perdana Menteri.
- Wanita, kanak-kanak dan masyarakat awam menjadi mangsa terbesar, hidup dalam ketakutan, kehilangan dan trauma berpanjangan.
- Forum Ilmuwan Malaysia MADANI penting untuk menilai cabaran geopolitik; sambutan kepada Jeffrey Sachs dan penghargaan kepada penganjur.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata konflik yang melanda rantau itu bukan sekadar mengenai angka korban dan kemusnahan infrastruktur, tetapi turut mencerminkan kecenderungan berbahaya untuk mendominasi wilayah tanpa menghiraukan nilai kemanusiaan.
“Dalam suasana dunia yang terus berantakan akibat konflik dan perseteruan geopolitik, kita tidak boleh membiarkan ketidakadilan dan kezaliman mengheret kita untuk bungkam,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.
Beliau berkata mangsa terbesar konflik berkenaan ialah wanita, kanak-kanak serta masyarakat awam yang dipaksa hidup dalam ketakutan, kehilangan dan trauma yang berpanjangan.
“Maka dalam kerangka inilah Forum Ilmuwan Malaysia MADANI menjadi wahana penting untuk menilai secara adil cabaran geopolitik yang merundung dunia,” katanya.
Perdana Menteri turut menyambut kehadiran ahli ekonomi terkemuka Jeffrey Sachs sebagai pembicara undangan pada forum berkenaan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia, Kementerian Luar Malaysia dan Sunway University yang menganjurkan forum tersebut.