fb fb fb fb fb

Malaysia dan AS bakal tubuh jawatankuasa kerja untuk banteras buruh paksa - Saravanan

PUTRAJAYA, 13 Mei - Malaysia dan Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (US CBP) bakal menjalinkan kerjasama strategik dalam usaha membanteras isu buruh paksa menerusi penubuhan satu jawatankuasa kerja.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan menerusi kenyataan berkata jawatankuasa tersebut akan mengadakan pertemuan setiap tiga bulan dan akan memberi fokus kepada pertukaran maklumat berhubung elemen buruh paksa, termasuk termasuk merangka polisi yang menyokong inisiatif menghapuskan kegiatan itu.

Menurutnya, US CBP bakal mengadakan lawatan kerja ke Malaysia pada Mei 2022 dan bersetuju untuk mengadakan bengkel bersama pemain industri di negara ini.


(Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan (tengah)
ketika dalam lawatan kerja ke Washington)

"Bengkel ini akan memberikan penerangan mengenai perkara berkaitan dengan elemen buruh paksa yang perlu dielakkan oleh pemain industri supaya produk mereka tidak disekat untuk masuk ke pasaran Amerika Syarikat (AS)," katanya.

Dalam lawatan kerjanya ke Washington, beliau bertemu Penolong Eksekutif Pesuruhjaya Perdagangan US CBP AnnMarie Highsmith dan Timbalan Setiausaha Bahagian Biro Hal Ehwal Buruh Antarabangsa (ILAB) Jabatan Buruh AS (US DOL) Thea Lee.

Mengenai kerjasama dengan US DOL pula, beliau memaklumkan jabatan itu bersetuju untuk berkongsi kepakaran dalam aspek perpindahan teknologi, bina upaya dan program perantis.

Katanya, US DOL juga menyarankan agar Malaysia memberi pendedahan kepada pekerja tentang kepentingan berkesatuan.

Ini selaras dengan pindaan Akta Kesatuan Sekerja 1959 yang akan dibentangkan di Parlimen Julai depan.

Lawatan kerja ini juga membuka peluang kerjasama dua hala dalam membendung gejala buruh paksa selain menjadi platform bagi Amerika Syarikat untuk lebih memahami cabaran-cabaran yang dihadapi Malaysia dalam menangani isu buruh paksa dan kanak-kanak.

Media Baharu