fb fb fb fb fb

Malaysia, China setuju galak dunia multipolar teratur dan globalisasi ekonomi bermanfaat serta inklusif

FOTO FB Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 20 Jun- Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri China Li Qiang menyatakan komitmen mereka untuk menggalakkan dunia multipolar yang baik dan teratur serta globalisasi ekonomi yang memberi manfaat dan inklusif.

Dalam kenyataan bersama antara China dan Malaysia hari ini, kedua-dua pemimpin bersetuju bahawa dunia sedang melalui perubahan yang pesat dan telah memasuki tempoh baharu ketidakstabilan dan transformasi.

"Justeru, hubungan dua hala yang strategik terus dijalinkan bukan hanya kepada rakyat, malah untuk masa depan rantau ini.

“Kedua-dua negara merupakan wakil penting untuk negara-negara sedang membangun di Asia dan ekonomi sedang pesat membangun.

“Kepentingan hubungan dua hala yang strategik terus diketengahkan, yang penting bukan sahaja kepada rakyat tetapi juga masa depan rantau ini, meningkatkan perpaduan dan kerjasama 'Global South',” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, kedua-dua negara turut menyokong usaha berterusan mempromosi hubungan Rakyat-ke-Rakyat melalui persetujuan pelanjutan pengecualian visa pelancong.

Ia bagi menyokong usaha berterusan memupuk hubungan persahabatan dan diplomatik kedua-dua negara.

"China bersetuju untuk melanjutkan kemudahan itu sehingga akhir 2025 dan sebagai balasan, Malaysia akan melanjutkan pengecualian visa sehingga akhir 2026,"menurut kenyataan tersebut.

Kenyataan bersama itu menjelaskan, China bersetuju untuk melanjutkan kemudahan itu sehingga akhir 2025 dan sebagai balasan, Malaysia akan melanjutkan pengecualian visa sehingga akhir 2026.

Selain itu, kedua-dua pihak juga bersetuju untuk meningkatkan kerjasama pendidikan ke tahap baharu, mengukuhkan kerjasama dalam pendidikan vokasional, penyelidikan saintifik bersama dan pendidikan digital.

"Ia termasuk bagi mengiktiraf institusi pendidikan tinggi untuk bersama-sama menubuhkan institut pengajian lanjutan, meningkatkan interaksi antara badan pemikir dan institusi pendidikan tinggi, memupuk lawatan bersama antara guru serta pelajar, dan meningkatkan pertukaran budaya serta pembelajaran bersama,"menurut kenyataan tersebut.

Malaysia dan China turut mengesahkan untuk melaksanakan pusingan baharu penyelidikan bersama mengenai perlindungan panda bagi memperingati ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik dan mengukuhkan kerjasama penyelidikan saintifik.

Selain itu, kedua-duanya bersetuju untuk bekerjasama dalam pencalonan multinasional bagi memasukkan unsur tarian singa pada Senarai Wakil Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) bagi Warisan Budaya Tak Ketara (ICH) Kemanusiaan, memandangkan kedua-dua pihak meraikan tarian singa sebagai satu bentuk perkongsian sejarah dan bersama-sama mempromosikan pemeliharaan warisan bersama.

Dalam pada itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Li Qiang bersetuju untuk terus mengekalkan dan memperkukuh jalinan kerjasama antara kedua dua negara sambil menegaskan sokongan teguh mereka terhadap visi dan matlamat pembangunan negara masing-masing.

"Malaysia turut mengagumi pencapaian China dalam era baharu dan menghargai usaha China untuk kebangkitan semula nasional secara menyeluruh melalui pemodenan China.

"Manakala China turut menghargai pencapaian sosial dan ekonomi Malaysia bawah Malaysia MADANI,"jelas kenyataan tersebut.

Kedua-dua negara berkongsi pandangan tentang kepentingan memelihara dan mengekalkan keamanan dan keselamatan di Asia Wilayah Pasifik, disokong oleh penghormatan terhadap kedaulatan dan pematuhan kepada peraturan dan norma yang dipersetujui.

Tidak ketinggalan, kedua-dua pemimpin menyatakan kebimbangan dengan perang yang berterusan di Gaza, krisis kemanusiaan yang teruk dan kesannya yang serius terhadap penduduk awam. Kedua-dua pihak dalam nada sama menekankan bahawa orang awam di Gaza mesti dilindungi, dalam mengikut undang-undang antarabangsa, dan digesa untuk gencatan senjata serta-merta dan kekal, tanpa halangan bantuan kemanusiaan dan perlindungan bantuan kemanusiaan dan kakitangan perubatan.

Datuk Seri Anwar dan Li Qiang turut menyaksikan pertukaran 14 dokumen semasa lawatan Perdana Menteri China itu di Malaysia.

Ia meliputi banyak bidang, mencerminkan kerjasama yang ditingkatkan antara dua negara sejak lebih lima dekad yang lepas.

Di akhir lawatannya, Li Qiang merakamkan penghargaan kepada kerajaan Malaysia dan rakyatnya atas sambutan hangat dan mesra mereka dan dalam masa sama menjemput pemimpin Malaysia melawat China.

Perdana Menteri China itu berlepas pulang hari ini selepas selesai melakukan lawatan kerja tiga hari di Malaysia.

Lawatan beliau bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China susulan pemeteraian Penyataan Bersama antara Perdana Menteri Kedua Malaysia Tun Abdul Razak Hussein dan Perdana Menteri China ketika itu, Chou En Lai pada 31 Mei, 1974.

China merupakan rakan dagangan terbesar Malaysia sejak 2009. Tahun lalu, jumlah perdagangan dengan China bernilai RM450.84 bilion, mewakili 17.1 peratus daripada perdagangan global Malaysia.

 

2006 KENYATAAN BERSAMA MSIA CHINA 2FOTO FB Anwar Ibrahim

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE