fb fb fb fb fb

Malaysia-China kukuh persahabatan, rancakkan ekonomi Asia

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri mesyuarat dua hala dengan rakan sejawatnya dari China, Li Qiang di The Grand Halls di Shanghai / Foto Bernama

SHANGHAI, 5 November – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan hubungan diplomatik antara Malaysia dan China sebagai persahabatan yang kukuh dan stabil.

Menjelang kepengerusian ASEAN 2025, Anwar optimis kerjasama erat antara Malaysia dan China yang sudah berlangsung lebih lima dekad akan terus merancakkan perkembangan ekonomi di rantau Asia.

"Saya rasa hubungan kita berjalan sangat baik, dengan kerjasama meluas dalam pelbagai bidang seperti ekonomi, sosial, pendidikan, ketenteraan, dan perlindungan sempadan.

"Kita kini dua rakan baik dan saya berharap apabila saya memegang jawatan sebagai pengerusi ASEAN, kita dapat bekerjasama lebih erat antara China dan ASEAN bagi memacu ekonomi Asia,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam pertemuan bersama Perdana Menteri China, Li Qiang, di sini.

Kedua-dua pemimpin turut mengadakan mesyuarat dua hala selama 30 minit yang membincangkan peluang untuk meneroka bidang baharu demi manfaat bersama Kuala Lumpur dan Beijing.

Hadir sama dalam pertemuan itu ialah Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hassan, serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Pertemuan tersebut juga menyaksikan pertukaran dokumen antara MITI dan Kerajaan China berkaitan inisiatif Jalur dan Laluan (Belt and Road Initiative) serta Memorandum Persefahaman antara Bernama dan China Media Group.

Sejak 2009, China merupakan rakan dagang terbesar Malaysia di peringkat global, dengan jumlah perdagangan dua hala bernilai RM450.84 bilion pada 2023, yang menyumbang 17.1 peratus daripada jumlah dagangan global Malaysia.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN