fb fb fb fb fb

Malaysia catat sejarah miliki dua TPM

Datuk Seri Zahid Hamidi (gambar atas) dan Datuk Seri Fadillah Yusof (gambar bawah)
/ FOTO BERNAMA)

KUALA LUMPUR, 2 Disember- Buat pertama kalinya, pentadbiran Malaysia memiliki dua timbalan perdana menteri, termasuk seorang dari Sarawak apabila Perdana Menteri Datuk Seri Anwar hari ini mengumumkan Kabinet Kerajaan Perpaduan yang diterajuinya, selain memegang sendiri portfolio Menteri Kewangan.

Dengan saiz Kabinet dianggotai 28 menteri, Anwar yang mengumumkan barisan Kabinet itu di Perdana Putra, Putrajaya malam ini, menamakan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.

Turut dinamakan sebagai timbalan perdana menteri ialah Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Seri Fadillah Yusof yang mewakili Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan beliau juga memegang  portfolio sebagai Menteri Perladangan dan Komoditi.

Barisan Kabinet itu turut menyaksikan 14 muka baharu yang julung kali menganggotai Kabinet termasuk  Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli yang dilantik Menteri Ekonomi, Naib Presiden PKR Nik Nazmi Nik Ahmad sebagai Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, dan seorang lagi Naib Presiden PKR Chang Lih Kang yang dilantik Menteri Sains dan Teknologi.

Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil diberi kepercayaan menggalas jawatan Menteri Komunikasi Digital manakala Ketua Wanita PKR Fadhlina Sidek dilantik Menteri Pendidikan, dan Ahli Parlimen Sekijang Dr Zaliha Mustafa dilantik Menteri Kesihatan.

Turut tersenarai Timbalan Pengerusi BN yang juga Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan yang dilantik sebagai Menteri Pertahanan manakala Setiausaha Agung BN yang juga bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Zambry Abd Kadir dilantik Menteri Luar.

(Datuk Seri Anwar menamakan dua timbalan perdana menteri dalam saiz kabinet dianggotai
28 menteri/FOTO BERNAMA)

Turut diberi kepercayaan menganggotai Kabinet ialah Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming yang dilantik Menteri Pembangunan dan Kerajaan Tempatan, manakala Ahli Parlimen Batu Gajah V.Sivakumar dilantik Menteri Sumber Manusia.

Presiden Parti Progresif Demokratik (PDP) Datuk Seri Tiong King Sing pula dilantik Menteri Pelancongan, Ahli Parlimen Penampang Datuk Ewon Benedick dilantik Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, manakala Ahli Parlimen Papar Datuk Armizan Mohd Ali dilantik Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak).

Ketua Hakim Syarie Mohd Na'im Mokhtar pula dilantik Menteri Agama.

Mereka ialah Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook yang dilantik sebagai Menteri Pengangkutan, Presiden Amanah Mohamad Sabu (Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan), Setiausaha Agung GPS Datuk Seri Alexander Nanta Linggi (Menteri Kerja Raya) dan Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (Menteri Pendidikan Tinggi).

Naib Ketua Wanita PBB Datuk Seri Nancy Shukri dilantik sebagai Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Timbalan Presiden Amanah Datuk Seri Salahuddin Ayub (Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup), Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Azalina Othman Said (Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi).

Ketua Setiausaha PH Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Bendahari BN Selangor Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz yang tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) turut berada dalam senarai Kabinet dengan masing-masing dilantik sebagai Menteri Dalam Negeri, dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Dua bekas timbalan menteri “dinaikkan pangkat” dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan adalah Naib Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Datuk Aaron Anak Dagang sebagai Menteri Perpaduan Negara dan Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP Hannah Yeoh sebagai Menteri Belia dan Sukan.

Pada pengumuman barisan Kabinet yang dinanti-nantikan rakyat sejak petang tadi, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata Kabinet Kerajaan Perpaduan itu didukung oleh kekuatan induk iaitu PH yang memiliki jumlah Ahli Parlimen terbesar diikuti BN dan GPS.  

“Tonggak ini telah sepakat bukan sahaja dalam membentuk Jemaah Menteri, tetapi (juga) menetapkan beberapa dasar utama tata kelola yang baik dan juga keutamaan memacu pertumbuhan ekonomi serta mengurangkan beban rakyat dari sudut kos sara hidup,” katanya.

Anwar berkata kesepakatan itu juga telah memungkinkan kerajaan melebarkan jaringan bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Warisan serta Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), serta memaklumkan kekuatan Kerajaan Perpaduan di Parlimen sudah mencecah sekitar dua pertiga majoriti.

“Dengan mandat itu, ia telah memberi keyakinan untuk membentuk barisan Jemaah Menteri yang lebih padu yang akan bekerja sebagai satu pasukan dan menumpukan perhatian dalam memacu pertumbuhan ekonomi yang segar selain menumpukan perhatian kepada masalah rakyat,” katanya.

Jemaah Menteri dijadualkan mengangkat sumpah jawatan di Istana Negara hari ini.- BERNAMA

 

Media Baharu