fb fb fb fb fb

Malaysia cadang tubuh MHH, permudah bantuan ke Gaza

Foto AFP

KUALA LUMPUR, 6 Disember- Malaysia terus komited dalam penghantaran bantuan ke Gaza dengan kerjasama Mesir.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin berkata Malaysia juga bercadang untuk menubuhkan 'Malaysian Humanitarian Hub' (MHH) di Mesir bagi melancarkan proses penyaluran bantuan.

"Dalam hal ini Kementerian Luar Negeri telah mengemukakan nota diplomatik kepada kedutaan Mesir yang berada di Kuala Lumpur pada 23 November lepas untuk mendapat pertimbangan ke atas penubuhan MHH," kata Mohamad ketika pada sesi penggulungan di Dewan Negara di sini.

Tambah beliau lagi, penghantaran bantuan pertama dan kedua pada bulan lalu telah berjaya disalurkan kepada penduduk Palestin.

Penghantaran bantuan yang ketiga dijangka akan dilakukan pada 18 Disember 2023.

Dalam pada itu, Mohamad turut memaklumkan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di Malaysia telah mengeluarkan 602 kad UNHCR bagi melindungi rakyat Palestin.

"Antara yang berada di negara kita ini adalah mereka-mereka yang sedang belajar. Kita maklumkan bahawa antara kemudahan yang kita hulurkan kepada mereka yang berada di Malaysia adalah kemudahan kesihatan di pusat kesihatan, kemudian kemudahan pendidikan di pusat bimbingan alternatif kendalian badan bukan kerajaan (NGO) dan juga UNHCR, kemudian kita juga memberikan Program Imunisasi COVID-19 kepada seluruh pelarian Palestin yang berada di Malaysia," katanya.

Tambahnya, Kementerian Luar sedang memainkan peranan aktif dalam membantu mendesak masyarakat antarabangsa mengheret isu kekejaman Israel ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Walaupun bukan ahli Statut Rom ICC, Malaysia masih boleh menyokong desakan masyarakat antarabangsa.

"Malaysia masih dapat memainkan peranannya dalam perkara ini yang melibatkan soal mengheret Israel ke mahkamah jenayah antarabangsa. Kita juga sedang menghimpunkan negara-negara yang mempunyai pemikiran yang sama termasuk Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk mengumpul dana bagi melancarkan proses pendakwaan sehingga diheret ke ICC," katanya.

Kerajaan juga telah mengemukakan kenyataan bertulis atau pandangan Malaysia yang diperlukan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung kesan-kesan kekejaman Israel terhadap Palestin pada 25 Julai lepas.

Pada masa sama, Mohamad berkata Malaysia tidak akan mengiktiraf Rang Undang-undang (RUU) Akta Pencegahan Pembiayaan Antarabangsa Hamas, yang diluluskan oleh Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS).

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM