fb fb fb fb fb

Malaysia cadang kumpulan bertindak banteras judi haram - TPM

FOTO FACEBOOK Zahid Hamidi

SHANGHAI, 9 September- Malaysia menunjukkan komitmen tinggi dalam membanteras perjudian haram dengan mencadangkan penubuhan kumpulan bertindak untuk rangka kerja keselamatan negara.

Ia bertujuan menambah baik kerangka penguatkuasaan undang-undang dan meningkatkan kerjasama rentas sempadan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan perjanjian antara Malaysia dan China menunjukkan hasil positif dengan penurunan ketara jumlah tangkapan warga China di Malaysia daripada 1,225 orang pada 2020 kepada 79 orang tahun lalu.

Kejayaan itu hasil usaha bersepadu, perkongsian risikan dan kolaborasi antara kedua-dua negara.

Ahmad Zahid juga mengumumkan perjanjian penting antara Malaysia dan China yang merangkumi kerjasama dalam memerangi jenayah transnasional termasuk keganasan, kawalan sempadan, penipuan telekomunikasi, perjudian dalam talian, pengedaran dadah, penyeludupan dan pengubahan wang haram.

Perjanjian tersebut turut melibatkan latihan untuk meningkatkan keupayaan penguatkuasaan undang-undang.

Beliau berucap pada Forum Kerjasama Keselamatan Awam Global Lianyungang (GPSCFL) 2024 di Bandar Lianyungang, Wilayah Jiangsu, China hari ini.

SITI AISHAH MD ISA