fb fb fb fb fb

Malaysia - Brunei perkukuh kerjasama ketenteraan dua negara

FOTO Tentera Darat Malaysia

PENANJONG, 28 September- Panglima Medan Timur Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Mohd Sofi Md Lepi telah melakukan lawatan kerja ke kawasan Eksesais BRUMAL SETIA Siri 16/2024 dan MERTAK BERSATU Siri 14/2024 di Penanjong, Brunei.

Lawatan kerja berkenaan bersempena pelaksanaan Eksesais BRUMAL SETIA Siri 16/2024 dan MERTAK BERSATU Siri 14/2024 yang bermula pada 19 hingga 26 September.

Seramai 20 orang Pegawai dan 341 anggota Lain-Lain Pangkat dari kedua-dua buah negara telah terlibat dalam pelaksanaan eksesais tersebut.

Eksesais BRUMAL/MALBRU SETIA dan Eksesais MERTAK BERSATU merupakan Latihan Bilateral antara TDM dan Tentera Darat Diraja Brunei .

Ia merupakan timbal balas kepada Eksesais MALBRU SETIA Siri 15/2023 dan Eksesais MERTAK BERSATU Siri 13/2023 yang telah dilaksanakan di Lapang Sasar Kota Belud dan kawasan am Sikuati mulai 10 hingga 17 September tahun lalu.

Pelaksanaan kedua-dua eksesais tersebut adalah untuk mencapai tiga objektif yang signifikan iaitu berkongsi pengalaman dan pengetahuan serta Taktik Teknik Prosedur dalam menangani ancaman semasa dan masa depan.

Ia juga untuk mengukuhkan hubungan dan kerjasama dalam pelbagai aspek seperti logistik, komunikasi, dan perancangan operasi.

Selain mengeratkan hubungan ketenteraan kedua-dua negara, serta memberikan peluang interaksi khususnya untuk anggota-anggota bagi memupuk sifat setiakawan.

Menerusi satu kenyataan media, TDM memaklumkan panglima bersama delegasi turut berkesempatan untuk mengadakan sesi perjumpaan bersama Pemerintah Tentera Darat Diraja Brunei, Brig Jen Mohammad Shanonnizam Sulaiman dan Ketua Staf TDDB, Lt Kol Erwan Ibrahim di Markas TDDB, Kem Berakas, Brunei.

Turut hadir dalam sesi ini ialah Panglima Divisyen Kelima Infantri Malaysia, Mej Jen Datuk Noorul Azril Ariffin.

Eksesais BRUMAL/MALBRU SETIA merupakan satu platform terbaik untuk anggota dari kedua-dua negara menjalani latihan secara bersama selain dapat menilai tahap kesiagaan anggota untuk melaksanakan tugas yang dipertanggungjawabkan kepada mereka.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE