RIO DE JANEIRO, 18 November- Malaysia dan Brazil sepakat menekankan kepentingan gencatan senjata berkekalan di Gaza serta mendesak Israel membenarkan bantuan kemanusiaan tanpa halangan kepada rakyat Palestin, sambil memperkukuh kerjasama strategik melalui platform ASEAN dan BRICS (Brazil, Russia, India dan China).
Komitmen tersebut dicapai dalam pertemuan dua hala antara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva pada luar Sidang Kemuncak Kumpulan 20 (G20) di sini.
Kenyataan bersama yang dikeluarkan menyebut kedua-dua pemimpin berikrar menghidupkan semula sistem pelbagai hala berlandaskan prinsip Piagam Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dan undang-undang antarabangsa, di samping menegaskan usaha memperjuangkan ketidaksetaraan, kelaparan dan kemiskinan, serta meningkatkan taraf hidup rakyat.
Malaysia dan Brazil turut mengiktiraf keperluan pembaharuan dalam tadbir urus global agar lebih berkesan, telus dan bertanggungjawab, sesuai dengan aspirasi negara membangun yang mahu memainkan peranan lebih besar dalam hal ehwal antarabangsa.
Kedua-dua negara juga menegaskan sokongan terhadap penubuhan negara Palestin yang bebas dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara serta kepentingan kerjasama dalam kesihatan, industri halal, keterjaminan makanan, sains, teknologi, semikonduktor dan perubahan iklim.
Presiden Brazil turut menghargai penyertaan Malaysia sebagai anggota pengasas dalam Pakatan Dunia Memerangi Kebuluran dan Kemiskinan, serta menyambut baik inisiatif yang dicadangkan semasa Malaysia memegang jawatan Pengerusi ASEAN dan Brazil sebagai Presiden BRICS serta tuan rumah Persidangan Perubahan Iklim PBB (COP30) tahun hadapan.