RIO DE JANEIRO,18 November- Malaysia dan Brazil sepakat untuk meningkatkan kerjasama dalam bidang pendidikan, penyelidikan dan pembangunan.
Jelas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pemikiran tradisional yang terlalu bergantung kepada negara dan universiti tertentu kini dianggap tidak lagi relevan dengan keadaan semasa.
‘’Ini bermakna pelbagai kementerian, termasuk pendidikan tinggi, harus mempertimbangkan kemungkinan kerjasama antara universiti dan penyelidikan pembangunan yang akan membolehkan lebih banyak hubungan, komunikasi dan kolaborasi’’, katanya.
Datuk Seri Anwar turut mempelawa syarikat Brazil untuk meneroka peluang pelaburan di Malaysia.
Beliau berucap pada majlis sambutan penerokaan minyak daripada kapal terapung, pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan (FPSO) Yinson Holdings Bhd Malaysia Maria Quitéria di Brazil.
Maria Quitéria mempunyai kapasiti pengeluaran sebanyak 100,000 tong minyak sehari (bpd) dan kapasiti penyimpanan sebanyak satu juta tong.