
KUALA LUMPUR, 5 Februari – Malaysia berpotensi untuk memacu pembangunan projek berkaitan iklim dan menjadi model global bagi penyelesaiannya sekiranya disokong modal, dasar serta pembangunan pengetahuan yang selaras.
- Malaysia berpotensi menjadi model global untuk pembangunan projek berkaitan iklim jika disokong modal, dasar dan pemindahan pengetahuan.
- Cabaran utama ialah menyalurkan dana kepada inisiatif iklim yang diyakini dan merangka projek menarik pelabur antarabangsa.
- Program Climate Finance Accelerator (CFA) dibiayai UK untuk mempercepat projek iklim dan sokong sasaran sifar bersih 2050.
- Peserta terpilih CFA menerima sokongan pakar kewangan, teknikal, kesaksamaan jantina dan keterangkuman selama tiga hingga empat bulan.
Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata, cabaran utama ketika ini adalah untuk menyalurkan dana ke arah inisiatif iklim yang diyakini serta merangka projek berkaitan bagi menarik minat pelabur antarabangsa.
”Pemindahan pengetahuan, khususnya dalam membina kefahaman mengenai cara merangka dan menjelaskan projek berkaitan iklim, adalah amat penting bagi kami.
”Malaysia kini sedang memasuki fasa baharu, baik di peringkat domestik mahupun global, dan kami melihat terdapat potensi besar untuk negara ini melonjak ke hadapan dalam projek berkaitan iklim,” katanya pada pelancaran program bantuan teknikal ‘Climate Finance Accelerator’ (CFA), hari ini.
CFA yang dibiayai oleh kerajaan United Kingdom (UK), bertujuan mempercepatkan kemajuan projek iklim serta menyokong sasaran pelepasan sifar bersih Malaysia menjelang 2050.
Sementara itu, Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia, Ajay Sharma berkata, inisiatif itu akan memastikan sektor perniagaan Malaysia bersedia untuk melabur dan menarik modal yang diperlukan bagi penyelesaian pada skala besar.
Permohonan bagi CFA Malaysia yang dibuka sehingga 6 Mac ini, mengalu-alukan penyertaan daripada perniagaan rendah karbon yang inovatif serta syarikat peneraju peralihan iklim.
Syarikat terpilih akan menerima sokongan selama tiga hingga empat bulan merangkumi pakar kewangan, teknikal, kesaksamaan jantina dan keterangkuman, seiring objektif utama program berkenaan.