fb fb fb fb fb

Malaysia berperanan aktif sokong agenda UNESCO

Foto Fadhlina Sidek

PARIS, 11 November- Malaysia berperanan aktif dalam menyokong agenda Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNESCO), kata Kementerian Pendidikan (KPM).

Antaranya sumbangan kepakaran dan kewangan melalui Program Kerjasama Malaysia-UNESCO.

Menteri Pendidikan merangkap Presiden Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia, Fadhlina Sidek berkata ia memanfaatkan lebih 7,000 peserta dari 87 negara di dunia.

Jelasnya, Malaysia juga mengetengahkan usaha diterajui bersama Brunei, Indonesia, Thailand dan Singapura dalam mengangkat kebaya sebagai warisan kebudayaan yang diiktiraf UNESCO.

Ini merupakan salah satu usaha dalam meraikan persamaan dan solidariti rantau ASEAN demi memperkasa warisan budaya tempatan ke peringkat global.

"Malaysia turut menyumbang dalam pembangunan pengetahuan menerusi Kursi UNESCO berkaitan Pembelajaran Masa Hadapan yang disandang oleh Malaysia, serta pengiktirafan terkini UNESCO 'Triple Crown Site' kepada Sabah dalam memelihara dan mempromosi tapak warisan dunia, biosfera dan geopark di Sabah.

"Negara-negara anggota turut disarankan untuk sentiasa memupuk kepercayaan serta keharmonian sejagat selain mewujudkan kerjasama erat dan strategik dalam menangani cabaran global melalui pendekatan penyelesaian silang.

"Semua negara anggota perlu memberi tumpuan untuk mencapai agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2030 serta melaksanakan usaha yang berterusan selepas tahun 2030," kata KPM menerusi kenyataan.

Fadhlina turut berkongsi mengenai kesungguhan Malaysia menyediakan peluang pendidikan berkualiti bagi semua murid merentasi batasan kaum, agama atau status sosial.

Ini dilakukan menerusi elemen pembangunan pendidikan berteraskan Pendidikan Manusiawi yang menumpukan kepada penerapan nilai dan pendekatan berorientasikan insan dalam pembangunan karakter berkonsepkan Karamah Insaniah.

Terdahulu, Fadhlina mengetuai delegasi negara ke Persidangan Agung UNESCO Kali Ke-42 di Paris, Perancis, pada 7 November 2023 hingga semalam.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM