
KUALA LUMPUR, 5 Mac -Malaysia kini berada dalam fasa peralihan daripada negara menua kepada negara tua menjelang tahun 2048, apabila 14 peratus atau dianggarkan 5.88 juta penduduk berumur 65 tahun ke atas.
- Malaysia dijangka menjadi negara tua menjelang 2048 dengan 14% penduduk berumur 65 tahun ke atas, menuntut perubahan dasar persaraan.
- Impak demografi besar ke atas sistem persaraan dan fiskal, memerlukan persediaan jangka panjang untuk kesejahteraan warga emas.
- Langkah pengukuhan ekonomi dan inisiatif KWSP seperti penstrukturan akaun serta i-Top Up meningkatkan kecukupan simpanan persaraan.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, jumlah itu lebih dua kali ganda berbanding 2.7 juta penduduk berusia 65 tahun ke atas pada 2025.
Katanya, perubahan demografi itu dijangka memberi kesan besar terhadap sistem persaraan, kedudukan fiskal serta persediaan jangka panjang bagi memastikan kesejahteraan rakyat pada usia tua.
Daripada sudut pengukuhan ekonomi, pelbagai dasar dan inisiatif telah dilaksanakan bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat.
“Ini dapat dilihat melalui peningkatan bilangan majikan aktif berdaftar dengan kwsp sebanyak 4.2% kepada 640,391 setakat Disember 2025 berbanding 614,563 pada 2024. Selari dengan itu bilangan pekerja sektor formal yang mencarum kini meningkat 3.3% kepada 8.2 juta berbanding kepada 7.9 juta tahun sebelumnya.
“Tahap pendapatan turut menunjukkan peningkatan apabila gaji median ahli aktif sektor formal warganegara malaysia meningkat 6.3% pada RM2,764 pada tahun 2025 berbanding pada RM2,600 pada tahun 2024.
“Perkembangan positif ini menyumbang kepada pertumbuhan caruman tahunan ahli kwsp warganegara kepada RM120 bilion pada tahun 2025, 12 peratus lebih tinggi berbanding RM107.1 bilion pada 2024,” katanya ketika menjawab soalan Senator Datuk Ng Keng Heng, di Dewan Negara.
Tambah beliau, bagi meningkatkan kecukupan simpanan persaraan, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah melaksanakan beberapa langkah utama termasuk penstrukturan semula akaun sejak Mei 2024 yang menambah RM15.7 bilion ke dalam Akaun Persaraan.
Langkah itu melibatkan peningkatan pecahan agihan caruman Akaun Persaraan daripada 70 peratus kepada 75 peratus.
Selain itu, inisiatif caruman melebihi kadar berkanun atau i-Top Up turut mendapat sambutan menggalakkan apabila seramai 364,000 ahli telah mendaftar bagi membuat caruman tambahan setakat Disember 2025.