fb fb fb fb fb

Malaysia-Belanda perkukuh kerjasama tangani risiko bencana berkaitan air

FOTO RTM

KUALA LUMPUR, 18 November- Malaysia menyambut baik tawaran Belanda untuk membantu menangani risiko bencana berkaitan air di bawah skim Sokongan Lonjakan Belanda (DSS).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kedua-dua negara turut komited memperkukuh kerjasama serta bertukar kepakaran dalam memastikan masa depan sektor air yang lestari dan berdaya tahan.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air menjelaskan kerjasama strategik itu sebagai persediaan bagi menangani cabaran keselamatan air akibat kesan perubahan iklim yang menjadi isu kepentingan bersama.

"Kami menghargai dan menyambut baik cadangan-cadangan daripada laporan pengurangan risiko bencana (DRR). Pada masa ini, bersama rakan sejawatan, kami sedang merancang untuk melaksanakan beberapa projek rintis di bawah skim ini.

"Inisiatif tersebut direka untuk meningkatkan strategi pengurusan banjir Malaysia, sekaligus membantu mengurangkan risiko banjir dan memperkukuhkan persediaan negara ini dalam menghadapi impak perubahan iklim pada masa hadapan," katanya.

Datuk Seri Fadillah berkata demikian dalam ucaptama pada 'Dialog Air Malaysia–Belanda Ke-7 yang berlangsung di Asian International Arbitration Centre (AIAC), Kuala Lumpur.

Dialog ini merupakan acara tahunan hasil kerjasama antara Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air dengan Kedutaan Belanda sejak tahun 2018.

Program ini merupakan platform yang menghimpunkan pakar dalam menangani isu cabaran air semasa, sambil berkongsi amalan terbaik antara kedua-dua negara.

Tema pada tahun ini “Pathway to Resilience: Achieving Water Security Amidst Climate Change” mengupas bagaimana kedua-dua negara dapat memastikan jaminan keselamatan air dalam mendepani impak negatif perubahan iklim.

Dialog tersebut juga meneroka inisiatif kerjasama yang berterusan dan akan datang kedua-dua negara.

Perbincangan antara lain memberi fokuskepada sumber air alternatif, pengurusan air bawah tanah dan strategi pengurusan banjir terutama berkaitan penyelesaian berasaskan alam semula jadi.

Trainee