KUALA LUMPUR, 20 Mei- Kementerian Luar hari ini memaklumkan, kerajaan Malaysia sedang bekerjasama dengan rakan antarabangsa untuk membawa keluar sebuah pasukan perubatan Malaysia yang terperangkap di Rafah, Gaza.
Wisma Putra menerusi satu kenyataan memberitahu, pihaknya sedia maklum dan memberi perhatian mengenai keselamatan enamanggota pasukan perubatan Malaysia dari Pasukan Perubatan Kecemasan Mercy yang terkandas di Rafah, Gaza sejak 1 Mei 2024.
Pasukan itu merupakan sebahagian daripada delegasi perubatan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) ke Rafah, Gaza.
"Keselamatan pasukan tersebut adalah keutamaan Kerajaan Malaysia. Kerajaan sedang bekerjasama rapat dengan Qatar, berdasarkan perbincangan terkini yang diketuai oleh Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan, mengenai usaha kemanusiaan bersama di Gaza dengan Menteri Negara bagi Kerjasama Antarabangsa Qatar, Lolwah Rashid Al-Khater.
"Selain itu, Kementerian Luar Negeri juga bekerjasama dengan Republik Arab Mesir dan Kerajaan Hasyimiah Jordan bagi memastikan mereka dapat dipindahkan dengan selamat dari zon konflik,"menurut kenyataan tersebut.
Memandangkan situasi yang tegang dan cepat berubah, Wisma Putra berkata, adalah penting operasi menyelamat dijalankan dengan cekap dan lancar melalui saluran diplomatik.
"Disebabkan keadaan yang semakin meruncing di Rafah, Gaza, dan kawasan sekitarnya, Kerajaan Malaysia menggesa semua rakyat Malaysia, terutamanya mereka yang berdaftar dengan badan bukan kerajaan (NGO), agar tidak melakukan perjalanan ke zon konflik.
"Nasihat ini merupakan penekanan terhadap arahan yang telah dikeluarkan semasa mesyuarat antara agensi dengan NGO pada 16 Oktober 2023 dan 23 Januari 2024 di Kementerian Luar Negeri,"jelas Wisma Putra.
Wisma Putra turut menegaskan komitmen yang tidak berbelah bahagi untuk memastikan kepulangan selamat warga Malaysia.
Semua langkah yang perlu sedang diambil dan Kementerian Luar Negeri akan terus bekerjasama dengan rakan antarabangsa untuk membawa pulang pasukan perubatan tersebut dengan selamat.