MANAMA, 19 Februari- Bidang baharu termasuk semikonduktor dan perbankan Islam, antara tumpuan yang diteroka Malaysia dan Bahrain.
Ia antara yang dibincang semasa pertemuan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatnya yang juga Putera Mahkota, Sheikh Salman Hamad Al Khalifa di Istana Gudaibiya, Manama sempena lawatan rasmi Perdana Menteri ke Bahrain.
Perdana Menteri memaklumkan, kerjasama baharu itu merangkumi pelaburan dan perdagangan, kewangan serta kesalinghubungan meliputi sektor pelancongan.
Menerusi pertemuan itu, kedua-dua pemimpin menyentuh isu serantau terutama membabitkan situasi di Asia Barat khususnya Palestin.
Jelasnya, isu Palestin memerlukan kerjasama serta tekad yang menyeluruh untuk memastikan saudara Islam di sana dalam keadaan baik, selain mendapat pembelaan sewajarnya.
Ruangan sama turut digunakan beliau untuk mengundang Putera Salman ke Malaysia bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC+China.