(Ismail Sabri di Washington)
WASHINGTON D.C, 13 Mei- Malaysia dan Amerika Syarikat memperkukuh kerjasama dengan pertukaran empat memorandum persefahaman (MOU) serta penyerahan tiga surat niat (LOI) dan satu surat kelulusan.
MOU yang dimeterai membabitkan Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) dan tiga entiti Amerika.
Pertukaran MOU disaksikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di sini pada Rabu (Khamis di Malaysia).
Tiga MOU berkenaan dicapai bersama Perikatan Inovasi, Teknologi dan Perkhidmatan Dunia (WITSA); Accenture PLC dan Institut Persijilan Sumber Manusia (HRCI).
Ketua Eksekutif HRD Corp Datuk Shahul Dawood menjelaskan, MOU itu membolehkan latihan yang lebih baik untuk rakyat Malaysia.
"Apabila kita melakukan pendigitalan, ia memerlukan banyak teknologi dan kandungan. Kita sedang memburu kandungan yang baik dan Amerika menawarkan salah satu kandungan teknologi terbaik.
"Jadi sekarang kita membawa balik teknologi tersebut, memindahkan kembali ke negara supaya rakyat dan tenaga kerja akan lebih mampu untuk menghadapi cabaran dalam
peluang pekerjaan.
“Modul latihan dan kepakaran mereka (Amerika) kaya dengan kandungan dengan penggunaan teknologi terkini, yang merupakan aspek penting dalam pembangunan tenaga kerja. Pendedahan sedemikian akan meningkatkan permintaan tenaga kerja kita di peringkat serantau dan antarabangsa,” katanya.
(Pertukaran MOU disaksikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob
di sini pada Rabu (Khamis di Malaysia)
Sementara itu, Pengarah Urusan Accenture Allison M. Hord berkata syarikatnya bersedia untuk berkongsi latihan meningkatkan kemahiran dan melatih semula dengan Malaysia.
"Kami sangat teruja untuk menyokong pusat penempatan, khususnya platform di belakangnya, menggunakan A.I dan analitik serta data untuk benar-benar membantu menghubungkan warga Malaysia kepada peluang pekerjaan baharu," katanya.
Setiausaha HR Certification Institute, Gardiner Hempel berkata mereka bersedia membantu membangunkan tenaga kerja Malaysia untuk semua industri.
"Malaysia mungkin berada di kedudukan terbaik dalam ASEAN dan Asia-Pasifik.
"Beberapa pesaing besar adalah negara-negara besar, tetapi ini adalah peluang yang besar untuk mendapatkan kumpulan bakat, dan ia sejajar dengan tumpuan Malaysia terhadap kepelbagaiannya, pangkalan bakatnya yang berpendidikan, dan untuk menjadi suara dan peneraju terkemuka pembangunan intel, yang merupakan tunjang daya saing dalam persada global masa depan.
"Jadi ia satu peluang yang baik untuk Malaysia. Kami sangat gembira untuk menjadi sebahagian daripadanya sebagai rakan kongsi eksklusif.
Setiausaha Agung World Information Technology and Services Alliance (WITSA) Dr James Poisant pula berkata latihan mereka memberi tumpuan kepada bagaimana teknologi dapat membantu meningkatkan kehidupan manusia.
"Hari ini kami menandatangani perkongsian yang sangat menarik dengan Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia untuk bekerjasama secara strategik dalam acara yang dipanggil Kongres I.T Dunia yang berlangsung di Malaysia dari 13 hingga 15 September tahun ini. Jadi kami sangat teruja dengan kerjasama ini," katanya.