fb fb fb fb fb

Malaysia angkat warisan budaya pada Festival Tarian Antarabangsa Guam

Malaysia diwakili dua penari dari Legasi Terindah melalui persembahan tarian tradisional Melayu iaitu tarian zapin, inang, Dramatari Semerah Padi dan juga Tarian Ayam Didik

GUAM, 5 Disember - Seramai enam delegasi Malaysia, termasuk wakil media, berada di Guam, wilayah milik Amerika Syarikat, bagi menghadiri Festival Tarian Antarabangsa Guam.

Lawatan selama empat hari itu memberi peluang kepada negara dalam memperkenalkan seni persembahan tradisional selain membuka ruang kepada kerjasama budaya di peringkat global.

Malaysia diwakili dua penari dari Legasi Terindah melalui persembahan tarian tradisional Melayu iaitu tarian zapin, inang, Dramatari Semerah Padi dan juga Tarian Ayam Didik.

Penari mewakili Malaysia Muslimah Saptuang berkata, peluang diberikan kepada pengkarya untuk mengetengahkan seni budaya tempatan bukan sahaja membuka ruang apresiasi lebih luas, malah membuktikan bahawa Malaysia mempunyai warisan seni signifikan dan wajar dipelihara.

"Sebagai pengkarya dan penggiat seni, kami berpeluang untuk berkongsi serta menonjolkan budaya kita kepada dunia. Dengan cara ini, masyarakat luar dapat melihat bahawa Malaysia mempunyai banyak lagi warisan budaya yang perlu dipelihara.

"Saya juga berbangga kerana beberapa negara telah saya kunjungi untuk mempersembahkan tarian seperti Mak Yong dan Mek Mulung yang telah diiktiraf Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO)," katanya ketika ditemui RTM di sini.

Festival tersebut menghimpunkan kumpulan tarian dari Malaysia, Korea, Jepun, Taiwan dan juga India, yang masing-masing menampilkan identiti seni tersendiri.

Selain menghadiri Festival tarian itu,delegasi turut berpeluang melawat beberapa lokasi menarik yang ada di sekitar Guam.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI