fb fb fb fb fb

Malaysia akan berjuang habis-habisan bagi menentang tekanan pihak asing membabitkan isu minyak sawit

KUALA LUMPUR, 26 April - Malaysia akan bertindak lebih agresif dan berjuang habis-habisan bagi menentang tekanan pihak asing membabitkan isu minyak sawit.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Zuraida Kamaruddin dalam kenyataannya turut menggesa agar semua rakyat bersama-sama menangani propaganda anti-minyak sawit oleh negara Barat yang jelas bertujuan menjatuhkan industri sawit negara.


(Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin)

"Kita akan tunjukkan kepada mereka bahawa Malaysia bukanlah sebuah negara yang boleh diperbodohkan," katanya.

Meskipun tidak berniat untuk bermusuh, jelasnya sudah tiba masa bagi Malaysia dan Indonesia, mengambil tindakan lebih proaktif dan menangkis dakwaan tidak berasas pesaing yang giat mempromosi minyak sayuran boleh dimakan yang lain.

"Sudah tiba masanya untuk semua badan pensijilan yang berkenaan tampil mempertahankan minyak sawit, menepis semua dakwaan itu.

Kedua negara pengeluar minyak sawit terbesar dunia itu juga perlu meneruskan tindakan undang-undang yang difailkan dengan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) berkenaan sekatan EU ke atas biodiesel minyak sawit.

Kementeriannya juga sedang mengusahakan pertemuan dengan Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan CBP Amerika Syarikat dan EU Julai ini.

Ini bagi menjelaskan secara terperinci dakwaan isu buruh paksa, selain menangani kesan daripada Perintah Tahanan Pelepasan yang dikeluarkan CPB Amerika kepada FGV dan Sime Plantation pada 2020.

Pada masa sama, wakil negara akan menghadiri prosiding pertikaian dakwaan diskriminasi EU terhadap industri minyak sawit negara, dari 8 hingga 18 Mei ini.

Media Baharu