KUALA LUMPUR, 22 Mac – Malaysia Airlines hari ini menyambung semula operasi penerbangan ke dan dari Lapangan Terbang Heathrow, London, selepas gangguan akibat insiden bekalan elektrik.
Menurut kenyataan syarikat penerbangan itu di laman X, penerbangan yang kembali beroperasi mengikut jadual ialah MH4 (Kuala Lumpur ke Heathrow London) dan MH1 (Heathrow London ke Kuala Lumpur).
Malaysia Airlines turut menasihatkan penumpang untuk mengemas kini maklumat hubungan mereka menerusi bahagian ‘My Booking’ di laman web rasmi atau aplikasi mudah alih bagi menerima makluman penting dengan segera.
Lapangan terbang tersebut terpaksa ditutup pada Jumaat selepas kebakaran di sebuah stesen janakuasa elektrik berhampiran, menyebabkan gangguan bekalan tenaga.