fb fb fb fb fb

Malaysia antara negara terawal edar kad haji Nusuk

Syed Saleh (kanan) menyampaikan kad haji Nusuk kepada salah seorang jemaah haji

MEKAH, 19 Mei- Tabung Haji telah mula mengedarkan kad haji Nusuk bagi musim haji 1445H/2024M secara berperingkat kepada jemaah haji negara sejak semalam, menjadikan Malaysia antara negara terawal berbuat demikian.

Ia yang dikeluarkan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi itu merupakan platform komprehensif yang memudahkan interaksi jemaah haji dengan pihak berkuasa tempatan.

Menurut Ketua Rombongan Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman, kad tersebut mengandungi data peribadi yang membolehkan jemaah dikenal pasti dengan mudah, selain maklumat penempatan serta tempat beribadah yang lazim dilawati jemaah. 

"Sebagai cara mengawal (jemaah) di tempat-tempat tertentu seperti Masjidil Haram, Masjid Nabawi, Arafah, Muzdalifah dan juga di Mina.

"Mereka semua ini apabila berada di kawasan-kawasan itu mesti mempunyai kad haji Nusuk sebagai pengenalan diri, juga sebagai permit untuk melaksanakan haji," katanya kepada pemberita di sini.

Syed Saleh turut menasihati jemaah untuk sentiasa menjaga kad pengenalan diri Tabung Haji dan kad haji Nusuk yang dibekalkan kepada mereka. 

Sekiranya hilang, jemaah dikehendaki melaporkan kepada pihak Tabung Haji dengan kadar segera agar tindakan susulan dapat diambil.

SITI AISHAH MD ISA