BACHOK, 8 Disember - Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sedang mengumpul maklumat golongan petani terjejas banjir di negeri-negeri seluruh Pantai Timur.
Menterinya Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, tindakan itu dibuat untuk mengenal pasti kerosakan serta kerugian yang dihadapi golongan tersebut ketika banjir berlaku.
Beliau berkata, selepas mendapat semua maklumat yang diperlukan pihak KPKM akan memperincikan bentuk atau jenis bantuan yang boleh disalurkan kepada petani yang terkesan.
Maklumat tersebut akan dikumpul oleh pegawai pertanian di setiap daerah yang terlibat banjir.
Jelasnya, tindakan itu sudah menjadi rutin buat penduduk di Pantai Timur terutamanya setiap kali banjir berlaku.
"Adapun kerosakan-kerosakan itu ia akan datang kepada kita dan pihak kementerian akan bertindak segeralah mengikut kadar kemampuan, selalunya bantuan pertanian bantuan kerosakan dan sebagainya adalah rutin yang dibuat pada setiap tahun apabila selepas banjir. Ini kerana pertanian ini selalunya ia terkemudian sedikit dan ambil maklumat selepas dapat bancian tetapi pegawai ada di setiap daerah untuk mengambil maklumat-maklumat ini," Mohamad Sabu bercakap dalam sidang media selepas merasmikan Konvensyen Amanah negeri Kelantan, di sini.
Mengulas lanjut, Mohamad Sabu berkata, banjir yang berlaku kali ini tidak menjejaskan bekalan makanan negara.
Katanya, setakat ini bekalan makanan masih mencukupi namun tidak menolak kemungkinan akan berlaku gangguan sekiranya banjir besar berlaku.