fb fb fb fb fb

“Makcik reda, dia pergi sebagai wira negara”- Ibu Allahyarham Mohd Shahrizan

Ibu dan bapa Allahyarham Mohd Shahrizan Mohd Termizi

SITIAWAN, 24 April- ‘Perginya sebagai seorang wira yang berbakti kepada negara’.

Demikian luahan ibu salah seorang mangsa nahas helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut, Allahyarham Mohd Shahrizan Mohd Termizi.

Hasnah Yasim berkata anak sulung daripada tujuh beradik itu rapat dengannya dan tidak pernah merungut dengan kerja diceburi lebih 20 tahun itu.

“Dia kalau ada apa-apa masalah dia bagitahu makcik, dia tak pernah merungut… dia suka sangat dengan kerja dia. Tak dapat terima mula-mula tapi lepas itu Alhamdulillah ok dah”, katanya.

Kali terakhir dia dan suami berjumpa dengan Allahyarham pada Hari Raya lalu.

Mereka reda dan pasrah dengan kejadian menimpa keluarganya itu dan menganggap insiden berlaku sebagai ketentuan Ilahi.

“Dia pergi dalam perkhidmatan dan tengah menjalankan tugas, jadi kita memang rasa bangga macam kita kehilangan seorang wira yang sedang berkhidmat. Jadi serupa juga kalau askar yang tengah berjuang berperang sebagai wira.

"Dia wira yang menjaga martabat TLDM dengan helikopter”, kata bapa Allahyarham, Mohd Termizi Abdul Ghani.

Allahyarham Mohd Shahrizan meninggalkan seorang balu dan tiga orang anak berumur 15, 20 dan 21 tahun.

Jenazah akan disolatkan kali kedua di Masjid al Khairiah sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 10, Lekir.

Kali pertama jenazah disolatkan di Surau Salahuddin Al Ayubi, Kem Batalion ke-23 Rejimen Askar Melayu Diraja, Ipoh.

ROSLINA BINTI DIN