
ALOR SETAR, 13 April – Hidangan makanan percuma, disediakan THB Soup Kitchen membantu kira-kira 200 individu golongan memerlukan sejak lebih 9 tahun lalu di sekitar bandar raya Alor Setar.
- THB Soup Kitchen dikendalikan oleh NGO di bawah Tunku Bendahara Kedah, dibiayai beliau dan penderma bulanan serta sumbangan agensi tempatan.
- Kedai terletak di Taman Sultan Badlishah, beroperasi Ahad hingga Khamis, hidangan disediakan antara pukul 6 petang dan 8 malam.
- Selain makanan, premis menyediakan gunting rambut percuma, pakaian terpakai dan barangan asas, sambil memelihara maruah penerima.
Golongan yang rata-ratanya tidak berkemampuan dan sering mendapatkan bantuan makanan tersebut mengakui usaha THB Soup Kitchen membantu mereka yang kelaparan dan ia amat dihargai.
Che Nayan Bidin antara mereka yang tidak mampu membeli makanan, menyambut baik usaha murni yang dilakukan pihak berkenaan.
“Jadi saya berbesar hati THB Soup Kitchen memberi makan kepada saya, saya tiada sesiapa yang boleh membantu melainkan Allah dengan Nabi Muhammad. Semoga dimurahkan rezeki kepada mereka yang menginfaqkan makanan ini,” katanya.
Usaha badan bukan kerajaan yang dipengerusikan Tunku Bendahara Kedah, Dato’ Seri DiRaja Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani Ibni Almarhum Sultan Badlishah itu, turut mendapat sokongan beberapa pihak persendirian yang tampil menyumbangkan barang-barang asas makanan.
Naib Pengerusi THB Soup Kitchen, Datuk Dr. Cheng Joo An berkata, kedai makan percuma yang mula beroperasi pada Disember 2017 itu, terletak di Taman Sultan Badlishah, Alor Setar.
Ia beroperasi 5 hari seminggu bermula Ahad hingga Khamis dan makanan percuma dihidangkan bermula pukul 6 petang hingga 8 malam.
Mereka yang mengunjungi kedai berkenaan terdiri daripada warga emas yang hidup bersendirian, penganggur, orang kurang upaya (OKU) serta golongan gelandangan.
“Semua usaha ini adalah sebahagian daripada komitmen kami untuk terus menyantuni mereka dengan penuh keprihatinan dan hormat. Bagi THB Soup Kitchen bukan sekadar tempat memberi makanan tetapi juga ruang untuk memelihara maruah insan dan mengeratkan hubungan. Harapan kami agar lebih ramai pihak akan tampil bersama-sama menyokong usaha kebajikan ini supaya tiada insan yang merasa diri mereka dilupakan atau dipinggirkan,” katanya kepada pemberita RTM di sini.
Beliau berkata, sebahagian besar kos perbelanjaan kedai ini dibiayai sendiri oleh Tunku Bendahara Kedah dan derma sukarela dari sekumpulan penderma bulanan.
“Terdapat juga sekumpulan penderma bahan masakan dari agensi tempatan yang menyumbang beras, minyak, ikan dan lain-lain mengikut keperluan harian..” katanya.
Selain makanan percuma, premis ini turut menyediakan pelbagai perkhidmatan lain seperti khidmat gunting rambut percuma, dan menyediakan pakaian dan barangan terpakai untuk diambil oleh mereka yang memerlukan.