IPOH, 11 Oktober – Majlis TVET Negara menyambut baik pengumuman peruntukan RM7.9 bilion dalam Belanjawan 2026 yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
- Majlis TVET Negara menyambut baik peruntukan RM7.9 bilion dalam Belanjawan 2026 untuk sektor TVET.
- Peruntukan dilihat penting untuk memperkukuh pembangunan tenaga mahir tempatan dan relevansi TVET dengan industri.
- Penekanan kepada pengukuhan modul TVET berasaskan robotik, AI, IoT, automotif dan kemahiran tinggi lain.
- Matlamat memastikan tenaga mahir diisi 100% oleh rakyat Malaysia melalui latihan TVET, bukan pekerja asing.
- Peruntukan meliputi pembangunan tenaga mahir, infrastruktur institusi dan pengukuhan ekosistem latihan industri berteknologi tinggi.
Timbalan Perdana Menteri, yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara (MTVET) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, peruntukan itu disifatkan sebagai langkah penting untuk memperkukuh pembangunan tenaga mahir tempatan dan memastikan sistem Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) negara terus relevan dengan kehendak industri.
“Insya-Allah, kami berazam untuk terus memperkukuh modul Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang berasaskan bidang seperti robotik, kecerdasan buatan (AI), Internet Pelbagai Benda (IoT), automotif serta bidang berkemahiran tinggi lain bagi memenuhi keperluan pasaran semasa.
“Kita tidak mahu tenaga mahir negara bergantung kepada pekerja asing, sebaliknya ia mesti 100 peratus diisi oleh rakyat Malaysia yang mendapat latihan melalui program TVET,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Perasmian Ekspo TVET@KKDW di Ipoh Convention Centre ICC, di sini.
Belanjawan 2026 memperuntukkan RM7.9 bilion bagi sektor TVET, peningkatan berbanding RM7.5 bilion tahun sebelumnya,.
Peruntukan itu meliputi pembangunan tenaga mahir, infrastruktur institusi serta pengukuhan ekosistem latihan industri berteknologi tinggi.