PUTRAJAYA, 8 September - Majlis Sejarawan Negara ditubuhkan sebagai sebuah badan berautoriti yang berperanan menasihati kerajaan dalam hal berkaitan naratif sejarah negara.
Majlis pelancaran serta penyampaian watikah pelantikan kepada 17 ahli majlis berkenaan telah disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Majlis tersebut dianggotai oleh sejarawan, ahli arkeologi, ahli antropologi, ahli sosiologi serta wakil beberapa kementerian berkaitan.
Dalam ucapannya, Perdana Menteri menegaskan naratif sejarah negara perlu sentiasa berpaksikan fakta yang tepat dan tidak dipengaruhi oleh pengaruh luar.
“Cabaran kepada kita dari sejarah, saya fikir disiplin ini juga akan memperkritik sejarawan itu sendiri. Analisis mengenai disiplin sejarah sudah sampai masanya. Malaysia mempunyai kekuatan dan tugas kita adalah terus berwacana dengan semua pihak serta memberi nasihat kepada kerajaan apa lagi yang perlu dilakukan.
Memang ada keresahan membaca, minat sejarah makin merosot. Namun, tidak semestinya kita kaitkan dengan teknologi baharu. Kita juga ada budaya yang tidak boleh diketepikan. Jangan sampai kita tertinggal daripada landasan,” katanya.
Datuk Seri Anwar menambah, peranan sejarawan bukan sekadar meneliti rekod lampau, malah menjadi penasihat kepada kerajaan dalam merangka langkah berkaitan sejarah negara.
Menyentuh kebimbangan terhadap minat masyarakat yang semakin berkurang terhadap sejarah, beliau menegaskan keadaan itu tidak seharusnya dikaitkan dengan kemajuan teknologi kerana Malaysia memiliki warisan budaya yang kukuh.
Sehubungan itu, sejarawan diingatkan agar memastikan negara tidak tercicir daripada usaha memperkasa bidang sejarah dalam membentuk generasi akan datang.
Penubuhan Majlis Sejarawan Negara juga merupakan langkah strategik kerajaan bagi mengawal selia aspek kajian, rujukan sumber serta advokasi berkaitan sejarah negara, sekali gus menjamin ketepatan fakta.
Keanggotaan majlis tersebut ditetapkan selama dua tahun bermula Ogos 2025.