fb fb fb fb fb

Majlis sambutan Aidilfitri bersama PM, lebih 20,000 orang dijangka hadir

Program bermula pada pukul 7.00 malam dan Kelantan menjadi destinasi keempat program selepas Johor, Melaka dan Sabah.

KOTA BHARU, 1 Mei- Lebih 20,000 rakyat Kelantan dijangka akan membanjiri RTC Kelantan di Tunjong, Kota Bharu esok bersempena Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2024 Bersama Perdana Menteri Peringkat Negeri Kelantan.

Persiapan akhir bagi memastikan kelancaran perjalanan program juga sedang giat dilakukan pihak penganjur dengan hampir 90 peratus sudah siap sepenuhnya.
 
Menurut Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan, Jasri Kasim pihak penganjur menyediakan hampir 50 reruai terdiri daripada pelbagai hidangan dan juadah istimewa masyarakat negeri Kelantan sedia untuk dinikmati.
 
"Pada masa sama, untuk kemudahan pengunjung, selain mengelakkan berlaku kesesakan, JPP selaku urus setia penyelaras bersama Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam turut menyediakan bas ulang alik ('feeder bus') melibatkan beberapa lokasi sekitar program.
 
"Kalau misalnya tidak juga dapat menampung kehadiran, kita ada beberapa pilihan untuk parkir iaitu di Jabatan Audit Negara sana boleh parkir.

"Di Jabatan Ketua Pengarah Tanah Dan Galian di Mydin, mereka juga boleh parkir di sana," katanya kepada pemberita di sini.

Program bermula pada pukul 7.00 malam dan Kelantan menjadi destinasi keempat program selepas Johor, Melaka dan Sabah.
 
Selain Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, majlis sambutan dijangka dihadiri Menteri Besar Kelantan, Datuk Nassuruddin Daud serta pengurusan tertinggi kementerian, pegawai-pegawai kanan Persekutuan dan negeri.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM