ALOR SETAR, 7 Mac-Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah perkenan berangkat ke Majlis Kurniaan Keluarga DiRaja Sultan Negeri Kedah dan Majlis Berbuka Puasa Bersama Tuanku Sultan Kedah.
Majlis diadakan di Balai Santapan Besar, Istana Anak Bukit, Alor Setar, malam tadi.
Majlis berkenaan diadakan sebagai tanda penghargaan dan keprihatinan Baginda Tuanku Sultan terhadap rakyat negeri Kedah, khususnya dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini serta meneruskan tradisi mulia institusi DiRaja dalam mengeratkan hubungan dengan masyarakat.
Turut berangkat, Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah ibni Sultan Sallehuddin; dan Tunku Mahkota Kedah, Tunku Shazuddin Ariff ibni Sultan Sallehuddin.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Norizan Khazali; serta pegawai kanan kerajaan negeri dan Persekutuan serta wakil media termasuk RTM.
Sejurus tiba, baginda dan Kerabat Diraja berkenan menyampaikan kotak kurniaan kepada 30 penerima dan pegawai-pegawai daerah untuk diagihkan di kawasan masing-masing bermula hari ini.
Secara keseluruhan, kurniaan ini melibatkan 12 daerah di Kedah, di mana setiap daerah menerima 100 kotak kurniaan.
Ia menjadikan jumlah keseluruhan 1,200 kotak kurniaan yang berupa barangan makanan yang akan diagihkan melalui Pegawai Daerah di daerah masing-masing.
Inisiatif tersebut bertujuan untuk membantu golongan yang memerlukan dan menyemarakkan semangat kebersamaan dalam bulan Ramadan.