fb fb fb fb fb

Pemberian kepada kerajaan negeri ditambah RM8.9 bilion

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kewangan Negara Tahun 2024

PUTRAJAYA, 4 April- Mesyuarat Majlis Kewangan Negara kali ini bersetuju dengan keputusan Kerajaan Persekutuan untuk menambah baik pemberian serta sokongan kepada Kerajaan Negeri bagi tahun 2024.

Kementerian Kewangan menerusi kenyataan memaklumkan, jumlah pemberian ditingkatkan kepada RM8.9 bilion berbanding RM8.3 bilion tahun lalu dan RM8.1 bilion tahun 2022.

Peruntukan itu merangkumi peningkatan pemberian penyenggaraan jalan negeri kepada RM5.4 bilion daripada RM5.2 bilion pada tahun 2023 dan pemberian berdasarkan tahap pembangunan ekonomi, infrastruktur dan kesejahteraan Hidup (TAHAP) sebanyak RM400 juta.

"Kenaikan Pemberian Pindahan Fiskal Ekologi (Ecological Fiscal Transfer, EFT) kepada RM200 juta berbanding RM150 juta pada tahun lalu.

"Penambahan pemberian khas tahunan kepada Sarawak dan Sabah kepada RM300 juta berbanding RM16 juta untuk Sarawak dan RM129.7 juta untuk Sabah pada tahun 2023; dan Peningkatan Pemberian kepada Perpustakaan dan Muzium Negeri sebanyak 10% pada tahun 2024.

Bagi Perbelanjaan Pembangunan pula, sebanyak RM39.4 bilion disediakan bagi tahun 2024 untuk melaksanakan projek-projek pembangunan negeri berbanding RM36.7 bilion pada tahun 2023 dan RM28.8 bilion tahun 2022.

Menurut Kementerian Kewangan kelulusan permohonan Kerajaan Negeri telah diberikan berhubung kesiapsagaan menghadapi sebarang kecemasan atau bencana alam seperti musibah banjir dan tanah runtuh yang boleh menyebabkan kerosakan jalan serta jambatan.

Dalam hal ini, Majlis Kewangan Negara meluluskan pembelian jambatan sementara Bailey (Bailey Bridge) menggunakan peruntukan pemberian penyenggaraan jalan negeri secara sekali beri (one-off) bagi tahun ini dan kenaikan had untuk membiayai perbelanjaan pengurusan berkaitan penyenggaraan jalan negeri sebanyak 10 peratus atau RM10 juta, mengikut yang lebih rendah.

Kerajaan MADANI terus bertekad memastikan hubungan antara Kerajaan Persekutuan dengan semua Kerajaan Negeri kekal utuh demi kebaikan rakyat Malaysia.

"Hasrat ini dizahirkan melalui peningkatan Pemberian Kerajaan Persekutuan serta peruntukan perbelanjaan pembangunan di semua negeri untuk tahun 2023 dan 2024", katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Kerajaan Persekutuan komited untuk bekerjasama dengan semua Kerajaan Negeri dalam usaha memajukan pembangunan negara secara terangkum.

"Berlandaskan prinsip manusiawi dan ‘rahmatan lil alamin’ yang membentuk kerangka Ekonomi MADANI, penambahbaikan pemberian kepada Kerajaan Negeri dapat memberi manfaat langsung kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira etnik, agama atau geografi,” kata Datuk Seri Anwar.

Beliau berkata peningkatan pemberian melibatkan semua negeri di Malaysia dan akan diberikan secara serentak. Beliau berharap, ia dapat digunakan sepenuhnya untuk menjamin kemaslahatan rakyat serta merancakkan pembangunan negeri dengan lebih mampan.

Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, hari ini telah mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kewangan Negara Tahun 2024 yang dihadiri oleh Menteri-menteri Besar dan Ketua-ketua Menteri.

ROSLINA BINTI DIN