PULAU GADONG, 13 Jun- Majikan yang tidak mendaftar dan mencarum pekerja dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) akan berdepan tindakan tegas, kata Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan Melaka Ngwe Hee Sem.
Operasi bersepadu juga dilakukan dari masa ke masa oleh kerajaan negeri termasuk melalui Ops Kesan 2024.
Majikan yang tidak mendaftar juga akan dikenakan kompaun, pendakwaan dan Faedah Caruman Lewat Bayar (FCLB) atau berdepan tindakan mahkamah sekiranya masih ingkar.
"Ambil tindakan yang sekeras-kerasnya, kita sentiasa pantau dan juga ada operasi untuk syarikat di Melaka. Jadi pada bulan Julai seperti yang kita punya Kementerian Sumber Manusia sudah umum akan ada satu operasi terbesar seluruh Malaysia.
"...untuk memastikan semua majikan ada mencarum pekerja mereka," katanya selepas menyampaikan sumbangan Skuad PERKESO Prihatin Melaka di sini kepada waris seorang pengamal media, Sardi Mahorm yang meninggal dunia susulan masalah jantung.