Majikan sektor swasta disaran pertimbang cuti tambahan Aidilfitri

Foto fail

KUALA LUMPUR, 15 Mac -Para majikan sektor swasta digalakkan mempertimbangkan pemberian kelonggaran cuti tambahan kepada pekerja sempena Aidilfitri.

RINGKASAN BERITA AI
  • Cuti tambahan diisytiharkan mengikut kuasa kerajaan di bawah Akta Hari Kelepasan 1951.
  • Kelepasan ini terpakai kepada pekerja sektor swasta menurut Seksyen 60D Akta Kerja 1955.
  • Majikan boleh menggantikan hari kelepasan dengan hari lain dan wajib memaklumkan pengaturan kepada pekerja.
  • Pekerja yang bekerja pada hari kelepasan berhak menerima kadar bayaran mengikut Akta Kerja 1955; KESUMA galak amalan pekerjaan prihatin.

Ini selaras dengan pelaksanaan cuti tambahan yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dalam satu kenyataan memaklumkan, cuti tambahan itu selaras dengan peruntukan di bawah Akta Hari Kelepasan 1951 [Akta 369] yang memperuntukkan kuasa kepada kerajaan untuk mengisytiharkan hari kelepasan am.

Justeru, ia sekali gus merupakan hari kelepasan am yang terpakai kepada pekerja sektor swasta, tertakluk kepada Seksyen 60D Akta Kerja 1955 [Akta 265].

“Berdasarkan peruntukan tersebut, majikan boleh menggantikan hari kelepasan am berkenaan dengan mana-mana hari lain sebagai ganti cuti am bergaji kepada pekerja.

“Majikan juga perlu memaklumkan kepada pekerja mengenai pengaturan cuti tambahan sama ada diberikan pada tarikh yang diisytiharkan atau digantikan dengan hari lain yang bersesuaian,” menurut kenyataan itu.

Tambah KESUMA sekiranya pekerja dikehendaki bekerja pada hari kelepasan am yang diisytiharkan, mereka layak menerima kadar bayaran kerja seperti yang diperuntukkan di bawah Akta Kerja 1955.

“Sehubungan itu, KESUMA menyeru para majikan agar mempertimbangkan pemberian kelonggaran cuti kepada pekerja sebagai sebahagian daripada amalan pekerjaan yang prihatin dan menyokong keseimbangan antara kehidupan dan pekerjaan.

“Langkah ini diharap dapat memberi ruang kepada pekerja untuk meraikan Aidilfitri dalam suasana kebersamaan, kesejahteraan dan keharmonian bersama keluarga,” kata kenyataan itu lagi.